LAUNGAN merdeka sebanyak tujuh kali yang dilaungkan oleh Bapa Kemerdekaan yang juga Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada tanggal 31 Ogos 1957 membawa erti cukup besar buat negara kita.
Kemerdekaan yang dicapai telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat tanpa cengkaman kuasa asing.
Pada tahun ini, genap 66 tahun negara kita mencapai kemerdekaan dan ramai antara kita tidak melepaskan peluang untuk menyemarakkan sambutan dengan pelbagai cara tersendiri.
Muhammad Akif Mohd. Azmi, 27, tidak melepaskan peluang itu dengan menghasilkan sebuah karya seni yang dinamakan sebagai ‘Kelopak Mekar’.
Dia yang berasal dari Lenggong, Perak menghasilkan karya tersebut untuk dipamerkan dalam pameran Colours Of Freedom di Galeri Artas, Petaling Jaya, Selangor bersempena sambutan kemerdekaan pada tahun ini.
Menurutnya, dia tidak melepaskan peluang untuk menyertai pameran tersebut bagi menzahirkan rasa patriotik kepada negara melalui karya seni.
“Inspirasi saya untuk menghasilkan karya seni sempena merdeka ini adalah bunga raya.
“Bunga raya adalah bunga kebangsaan. Dalam karya saya, bunga ini menjadi simbol kepada rakyat Malaysia,” katanya kepada K2.
Tambahnya, dia menggunakan material fabrik yang terdiri daripada pelbagai jenis kain untuk menghasilkan karya seni tersebut.
Kain-kain berlainan itu menjadi metafora kepada kepelbagaian rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama.
Dia menggunakan teknik kolaj untuk menghasilkan karya tersebut dengan mencantum dan menjahit kain-kain berbeza bentuk menjadi objek yang kelihatan seperti bunga raya.
Muhammad Akif yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjelaskan, dia mengambil masa hampir sebulan untuk menyiapkan karya tersebut.
“Untuk karya ini, saya juga menggunakan fabrik ‘dye’ serta cat akrilik untuk mendapatkan warna bunga raya.
“Kain yang telah dibentuk seperti bunga raya kemudiannya ditampal di atas permukaan kayu,” jelasnya.
Maklumnya, antara cabaran dihadapi untuk menyiapkan karya tersebut adalah membentuk bunga raya itu sendiri.

Ujarnya, dia harus menjahit kain-kain dan memotong kayu menjadi bentuk seperti bunga raya.
“Ia merupakan bahagian paling sukar untuk menyempurnakan karya ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Akif menjelaskan, sempena kemerdekaan negara, dia tergerak hati untuk menyampaikan mesej positif melalui karya tersebut.
Menurutnya, ada maksud yang ingin disampaikan di sebalik cantuman-cantuman kain tersebut.
“Di sebalik cantuman kain ini, saya cuba sampaikan bahawa rakyat Malaysia daripada pelbagai bangsa dan agama perlu bersatu.
“Kita perlu berbuat demikian bagi memajukan negara ini. Menerusi kejayaan diperoleh, kita akan melihat keindahannya seperti indahnya bunga raya,” ulasnya.
Dalam pada itu, Raeyen Yee, 22, merupakan salah seorang pelukis yang menyumbang karya sempena pameran kemerdekaan di galeri tersebut.
Karya yang dihasilkannya itu dinamakan sebagai ‘Flourishing’ yang berinspirasikan daripada Jalur Gemilang.
“Untuk karya ini, saya hasilkan lukisan abstrak yang menggunakan warna-warna pada bendera Malaysia.
“Warna-warna asas yang saya gunakan untuk karya ini adalah merah, putih, biru serta kuning.
“Kesemuanya adalah warna bendera negara yang menjadi kebanggaan kita,” katanya.
Ujarnya, dia mencampurkan warna-warna itu bersama dalam satu karya seni untuk menterjemahkan tentang budaya Malaysia yang pelbagai,” jelasnya.

Dalam lukisan itu juga, dia meletakkan imej bunga raya.
Ia bukan hanya menjadi lambang kepada bunga kebangsaan, malah lima kelopak bunga itu sebagai simbol kepada Rukun Negara.
Raeyen menjelaskan, material yang digunakan untuk menghasilkan lukisan itu adalah cat akrilik yang dilukis di atas kanvas.
“Sebelum ini kebanyakan hasil karya saya bertemakan warna hitam dan putih.
“Ini kali pertama saya menghasilkan lukisan yang ceria dengan warna.
“Ia memberi sedikit cabaran kepada saya untuk menghasilkan satu karya estetik,” terangnya.
Tambahnya, dia sangat gembira dapat menyertai pameran sempena merdeka itu buat pertama kali.
Sementara itu, Muhammad Izzuddin Basiron, 29, turut diundang untuk menyertai pameran tersebut.
Dia memilih menghasilkan lukisan yang menekankan warna harmoni dalam karyanya.
Menurut Muhammad Izzuddin, melalui warna harmoni itu, dia ingin menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara harmoni daripada segi kepelbagaian kaum, kebudayaan dan lain-lain lagi.
“Meskipun rakyat Malaysia ini pelbagai, tetapi setelah mencapai kemerdekaan kita boleh bersatu dan hidup bersama,” katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Seni Halus daripada UiTM.
Tambahnya, dia memilih simbol bangunan yang ada di negara ini sebagai subjek utama dalam karyanya.
Muhammad Izzudin menjelaskan, konsep yang diterjemahkan di dalam lukisan tersebut adalah abstrak pop.
Medium yang digunakan untuk menghasilkan lukisan tersebut pula adalah cat akrilik yang dilakar di atas kanvas.
“Saya mengambil masa hampir seminggu untuk menyiapkan lukisan berkenaan.
“Idea untuk membawa konsep ini adalah berdasarkan pemerhatian saya kepada isu-isu semasa.
“Antara isu yang diketengahkan adalah hal berkaitan politik yang boleh melonggarkan keharmonian masyarakat negara ini.
“Sebenarnya, politik boleh mencetuskan kelonggaran antara rakyat di negara ini, biarpun keharmonian yang dikecapi Malaysia telah berusia hampir 66 tahun,” jelasnya.














