fbpx

Bicara Yasin: Ahli kimia sahkan ketulan mampat, 17 pokok adalah kanabis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yasin Sulaiman

PETALING JAYA – Saksi pendakwaan pertama kes dadah komposer Yasin Sulaiman memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, hari ini bahawa beliau menerima 19 beg plastik berisi dua ketulan mampat dan 17 pokok dalam pasu pada Mac 2022.

Dr. J. Saravanan Kumar, 48, yang bertugas di Bahagian Narkotik Jabatan Kimia Malaysia ketika membaca pernyataan saksi berkata, selepas dianalisis, kesemua ketulan mampat dan tumbuhan itu disahkan kanabis.

“Pada 28 Mac 2022, pukul 4.18 petang, saya menerima 19 beg plastik bermeteri Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada Inspektor Muhammad Amirul Mukmin Aziz.

“Saya memeriksa kesemua beg plastik yang mana dua daripada beg plastik berisi ketulan mampat. Kemudian saya menerima 17 pasu bertanda yang juga selepas dianalisis adalah kanabis,” katanya.

Menurut saksi itu, selepas menerima item tersebut, beliau mula menganalisis dengan mencabut pokok dari pasu berisi tanah selain berat pokok yang dicabut itu ditimbang menggunakan penimbang elektronik yang dikalibrasi, manakala ketinggian pokok diukur guna pembaris.

“Saya menjalankan analisis menggunakan empat kaedah iaitu pemeriksaan fizikal secara visual dan menjalankan pemeriksaan ke atas pokok dan mendapati ia jenis tumbuhan sama (kanabis) dan tiada bahan asing,” katanya.

Ketika ditanya, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin mengenai pengetahuan tentang penanaman dan penjagaan pokok kanabis, saksi itu berkata, apa yang diketahui melalui pembacaannya, penanamannya memerlukan biji benih dan suhu sesuai.

“Proses menanam kanabis juga memerlukan pencahayaan sesuai untuk membolehkan tumbuhan ini bercambah yang mana penanaman ia boleh dilakukan melalui penanaman secara “indoor plantation lighting source” yang sesuai seperti penggunaan cahaya ultraviolet,” kata saksi itu.

Sejurus selepas selesai disoal pihak pendakwaan ketika pemeriksaan utama, saksi itu tidak disoal balas peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili Yasin.

Perbicaraan yang berlangsung di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin bersambung esok.

Muhammad Yasin Sulaiman, 47, didakwa dalam milikannya kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu (2022).

Pertuduhan kedua, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan ketiga, Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI