fbpx

PRK: 95 veteran tentera terlantar perlukan bantuan khas bulanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAZRI (tengah) beramah mesra dengan Samsudin (kiri) dan ahli PVATM Cawangan Muar hari ini.

MUAR – Seramai 95 veteran Angkatan Tentera Malaysia yang kini hidup terlantar akibat menghidap pelbagai penyakit kronik memerlukan bantuan khas bulanan untuk keperluan perubatan dan kesihatan.

Ketua Persatuan veteran ATM Cawangan Muar, Samsudin Rais berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada 3,195 ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Muar.

Katanya, pihaknya berhadapan kekangan untuk membantu ahli yang menghidap pelbagai penyakit kronik ini berikutan pendapatan bulanan persatuan hanya sekitar RM1,400 sebulan hasil daripada dua buah gerai yang disewakan kepada ahli.

“Uniknya persatuan ini adalah sebahagian daripada ahlinya merupakan bekas anggota tentera tidak berpencen serta berusia lebih 60 tahun.

“Oleh yang demikian, apabila mereka berhadapan dengan penyakit kronik sehingga menyebabkan tidak boleh bekerja dan terlantar secara tidak langsung kehilangan pendapatan untuk menyara kehidupan serta menanggung kos perubatan,” katanya selepas majlis perjumpaan dengan Calon PH, Ir. Nazri Abdul Rahman di Pejabat Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Muar hari ini.

Menurut Samsudin lagi, peruntukkan tahunan kepada setiap cawangan PVATM di Negeri Johor juga amat terhad menyebabkan bantuan yang dihulurkan kepada warga veteran terhad serta tidak mencukupi.

Sementara itu, Nazri berkata, pihaknya sentiasa berbesar hati untuk membantu golongan pesara yang menghidap pelbagai penyakit kronik ini dan akan diutamakan bukan disalurkan secara bermusim sahaja.

“Sebagai bekas pejuang keamanan negara samada berpencen atau tidak, kebajikan mereka harus dihargai kerana tanpa mereka kita tidak mungkin akan mengecapi keamanan seperti sekarang ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI