fbpx

Ibu bapa lapor polis, dakwa anak cedera dilempang guru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairul Asraf (kiri) menunjukkan kesan cedera pada pipi anaknya selepas ditampar seorang guru pada Rabu lalu. FOTO ROSMIZAN RESDI/KOSMO!

KOTA BHARU – Seorang murid lelaki tahun dua dipercayai mengalami pendarahan di kedua-dua belah telinga dan cedera pada tisu lembut di bahagian muka selepas mendakwa dia ditampar berkali-kali oleh seorang guru di sekolahnya pada Rabu lalu.

Kejadian itu disedari bapa kanak-kanak itu, Khairul Asraf Razali,33, ketika menjemput anak keduanya, Arsyad,8, dari sekolah apabila mendapati kedua-dua belah pipinya bengkak.

Khairul Asraf berkata, dia terkejut melihat anaknya seolah-olah sedang menahan kesakitan sebelum dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

“Mengikut cerita Arsyad, guru tersebut telah mencarinya di dalam kelas pada sebelah pagi ketika semua murid sedang bersiap sedia untuk menduduki Ujian Pertengahan Tahun.

“Guru tersebut telah bertindak menampar muka Arsyad beberapa kali sehingga terjatuh. Dia kemudiaannya mencekak leher baju Arsyad sebelum menamparnya beberapa kali lagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Melor di sini, semalam.

Khairul Asraf memberitahu, guru tersebut dipercayai bertindak sedemikian selepas anak kepada guru terbabit yang juga rakan sekelas Arsyad mengadu mereka bergaduh sehari sebelum kejadian.

Katanya, selepas melihat keadaan anaknya, dia terus memaklumkan kejadian tersebut kepada guru besar sebelum terus membuat laporan di Balai Polis Melor di sini.

“Selepas melakukan pemeriksaan dan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Arsyad dimasukkan ke wad selama dua hari untuk pemantauan sementara.

“Setakat ini, kami dimaklumkan bahawa Arsyad mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian muka dan pendarahan di kedua-dua belah telinga disyaki kesan daripada ditampar guru berkenaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Khairul Asraf berkata, pihaknya kesal dengan tindakan lambat daripada guru dan pihak sekolah untuk memaklumkan kepada mereka mengenai kejadian yang berlaku dan dilihat seolah-olah menyembunyikannya daripada pengetahuan ibu bapa.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kes tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan ketika ini. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI