fbpx

Susun semula keperluan guru KAFA Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Pertukaran guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) di Sekolah Rendah Agama (SRA) di Sabak Bernam dan Kuala Selangor dilakukan bagi penyusunan semula keperluan guru KAFA mengikut daerah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, tindakan ini dibuat berikutan langkah Bahagian Pendidikan Islam melaksanakan penyelarasan menyeluruh berhubung pengisian kekosongan Guru KAFA.

Katanya, ini juga bagi penyusunan semula keperluan sebenar Guru KAFA mengikut kelas berdasarkan data terakhir taburan Guru KAFA seluruh Selangor bertarikh 30 Jun lalu.

“Bahagian Pendidikan Islam telah melaksanakan penyusunan semula guru mengikut nisbah keperluan sebenar ditetapkan mengikut daerah secara berperingkat susulan data yang tidak menunjukkan kesimbangan (keperluan guru tersebut).

“Daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor telah ditetapkan sebagai dua daerah pertama yang terlibat dalam penyusunan semula ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas aduan-aduan yang telah diterima oleh JAIS berkaitan pertukaran guru-guru KAFA di SRA bagi daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Mohd. Shahzihan menjelaskan seramai 125 guru KAFA masing-masing 45 guru di Sabak Bernam dan Kuala Selangor (80) terlibat dalam penyusunan semula ini.

Ujarnya, penempatan baharu bagi lebihan guru di kedua-dua daerah tersebut telah dilakukan dengan mengambil kira faktor logistik guru-guru terlibat.

“Semua guru yang terlibat telah diberikan taklimat oleh pihak jabatan pada 21 Ogos lalu sebelum penyusunan ini dibuat.

“Antaranya jabatan ini sedia menimbangkan apa juga masalah berbangkit akibat penyusunan semula ini dengan alasan yang munasabah dan tidak mengganggu maksud sebenar penyusunan semula ini dibuat,” katanya.

Justeru, beliau menasihati orang ramai dan semua pihak agar tidak membuat telahan tanpa asas yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

“JAIS sentiasa membuka pintu perbincangan dalam apa juga permasalahan mengenai urusan pentadbiran hal ehwal Islam di negeri Selangor,” tegasnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI