fbpx

Mahkamah: Najib gagal gantung bicara 1MDB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dalam permohonannya untuk menggantung sementara perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Rayuan di sini sebentar tadi.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas menolak permohonan Najib selaku pemohon selain mendapati permohonan tidak mempunyai merit.

Turut bersidang ialah dua lagi hakim iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M Komathy Suppiah.

Justeru dengan keputusan itu, perbicaraan kes 1MDB yang bersambung pada 28 hingga 30 Ogos ini tetap diteruskan dengan keterangan bekas Gabenor BNM, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang mana pada peringkat sekarang adalah soal balas oleh pihak pembelaan Najib.

Najib, 70, berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Terdahulu dalam penghakimannya, hakim Hadhariah berkata panel-panel hakim bersetuju dengan hujahan pendakwaan (responden) bahawa tiada keadaan istimewa yang membolehkan mahkamah membenarkan prosiding kes itu digantung.

“Mahkamah mendapati permohonan pemohon (Najib) tidak mempunyai merit, oleh itu permohonan ditolak,” kata hakim Hadhariah.

Semalam Najib memfailkan permohonan itu di Mahkamah Rayuan di sini berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya supaya Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menarik diri daripada mendengar perbicaraan 1MDB.

Najib memohon hakim itu menarik diri dengan alasan berlakunya konflik kepentingan susulan pendedahan hakim berkenaan bahawa beliau dan bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan pernah menjadi rakan kongsi di firma Zain & Co ketika menjadi peguam, 10 hingga 15 tahun lalu.

Terdahulu pada 14 Ogos lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Najib memfailkan permohonan supaya hakim Collin menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes dana 1MDB itu.

Sekiranya permohonan itu dibenarkan, pihaknya memohon supaya keseluruhan perbicaraan dibatalkan dan tertuduh dibebaskan daripada tuduhan tersebut.

Sementara pilihan kedua ialah supaya perbicaraan ini didengar hakim baharu dan pilihan ketiga, supaya perbicaraan bersambung dan diteruskan oleh hakim Mahkamah Tinggi baharu.

Dalam prosiding 26 Julai lalu, Hakim Collin mendedahkan Jasmine pernah menjadi rakan kongsi (di firma Zain & Co), ketika beliau menjadi peguam 10 hingga 15 tahun lalu.

Isu itu dibangkitkan pihak pembelaan Najib yang mendapat pengesahan sama ada Jasmine akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan.

Ini kerana Jasmine dikatakan salah seorang sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang turut terbabit dalam skandal kewangan 1MDB, dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI