fbpx

Boustead Plantations catat untung RM7 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Operasi ladang Boustead Plantations.

PETALING JAYA – Boustead Plantations Berhad mencatatkan untung sebelum cukai dan zakat berjumlah RM7 juta untuk tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2023, berasaskan hasil berjumlah RM401 juta.

Penurunan ketara harga produk sawit, yang mempengaruhi penilaian stok akhir dan buah tandan segar menyebabkan keuntungan Kumpulan menyusut dalam tempoh yang dilaporkan.

Harga purata minyak sawit mentah (CPO) bagi tempoh enam bulan yang dilaporkan ialah RM3,971 setan metrik (MT), iaitu penyusutan 37 peratus berbanding RM6,327 MT yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Harga purata isirung sawit (PK) juga mengalami penurunan ketara sebanyak 50 peratus kepada RM2,118 MT.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fahmy Ismail berkata, pengeluaran dijangka meningkat pada suku ketiga 2023 berikutan trend bermusim , manakala masalah kekurangan buruh juga semakin reda.

Tambahnya, taburan hujan yang lebih rendah mewujudkan persekitaran yang lebih sesuai untuk penuaian, meskipun fenomena El Nino yang akan melanda dijangka mewujudkan keadaan kering berpanjangan bagi ladang-ladang di Indonesia dan Malaysia.

“Selepas mengambil kira semua faktor tersebut, Kumpulan meramalkan bakal terus berdepan cabaran pada tahun kewangan 2023.

“Walaupun menghadapi persekitaran yang tidak menentu, Kumpulan terus memberi tumpuan terhadap hala tuju strategik kami untuk mengukuhkan proses penjenteraan dan meneruskan aktiviti penanaman semula dan pendigitalan operasi.

“Kami yakin dalam jangka panjang, usaha ini akan meningkatkan produktiviti dan meletakkan Kumpulan di kedudukan yang lebih kukuh untuk memacu pertumbuhan lestari, sejajar dengan komitmen kami yang tidak berbelah bagi terhadap prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI