fbpx

Spesies lalat baharu ditemui dinamakan sempena pelajar PHD, Nur Aliah Natasha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Spesies lalat baharu yang dinamakan secara saintifik sebagai Dichaetomyia natashae (Diptera: Muscidae) ditemui di Selangor.

PETALING JAYA – Satu spesies lalat baharu yang dinamakan secara saintifik sebagai Dichaetomyia Natashae (Diptera: Muscidae) ditemui di Selangor.

Jabatan Komunikasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam satu kenyataan berkata, lalat itu ditemui melalui kerja lapangan berkaitan biodiversiti lalat berkepentingan forensik di negeri ini.

Menurutnya, spesies lalat baharu itu dinamakan sempena pelajar Doktor Falsafah, Fakulti Perubatan, UiTM, Nur Aliah Natasha Azmi yang merupakan pengumpul lalat tersebut.

“Spesies lalat baharu tersebut merupakan spesies lalat yang bersifat nekrofilik iaitu tertarik kepada bau pereputan dan berkemungkinan memainkan peranan sebagai pereput di ekosistem paya bakau semulajadi di Selangor,” kata kenyataan itu hari ini.

Prof. Dr. Heo (kiri) dan Nur Aliah Natasha.

Menurut Jabatan Komunikasi UiTM, penemuan menarik tersebut adalah hasil daripada sebahagian tinjauan entomologi yang dijalankan di kawasan paya bakau pantai tropika di Selangor.

Jelas Jabatan Komunikasi UiTM, proses identifikasi mengesahkan lalat berkenaan sebagai spesies baharu berdasarkan ciri-ciri morfologi dan analisis asid deoksiribonukleik (DNA)

Tambah Jabatan Komunikasi UiTM, Dichaetomyia natashae menunjukkan ciri-ciri genetik dan morfologi yang unik daripada spesis lain justeru membawa kepada penemuan menarik itu.

“Spesies baharu ini ditemui melalui kerjasama antara penyelidik dari National Institute of Infectious Diseases, Jepun, UiTM dan Universiti Malaya (UM).

“Tiga penyelidik terlibat dalam pengenalpastian spesies lalat ini Dr. Hiromu Kurahashi (Pakar Taksonomi Lalat dari Jepun), Profesor Madya Dr. Heo Chong Chin (Pakar Entomologi Forensik UiTM) dan Dr. Low Van Lun (Pakar Entomologi Genetik UM),” katanya hari ini.

Tambahnya, sampel-sampel yang dikutip didepositkan di National Museum of Nature and Science, Tsukuba (NSMT) di Jepun dan Institut Bioteknologi Molekul Perubatan (IMMB) di Fakulti Perubatan UiTM di Selangor.

“Penemuan ini tidak hanya memperkaya pemahaman kita mengenai kepelbagaian lalat berkepentingan forensik dan ekologi pereputan di Malaysia, tetapi membuka ruang penyelidikan lebih lanjut untuk meneroka sepenuhnya kepelbagaian serangga di Malaysia,” jelasnya lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI