TEMERLOH – Penduduk Kampung Tanjung Kerayong di sini menuntut pihak berkaitan untuk segera membina kembali jambatan konkrit yang runtuh akibat banjir sejak tiga tahun lalu bagi memudahkan urusan harian mereka.
Ketiadaan jambatan berkenaan turut menyukarkan urusan penduduk di kampung berhampiran hingga mereka terpaksa membawa jenazah dan keranda menyeberang sungai dengan menaiki bot.
Penduduk mendakwa, tindakan itu boleh mengundang insiden lain kerana urusan menurun dan menaikkan jenazah dilakukan di kawasan agak curam di tebing Sungai Semantan.
Wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, Abdullah Khaidir berkata, jalan sungai lebih dekat iaitu 50 meter berbanding darat yang jaraknya mencecah 10 kilometer untuk ke seberang.
Katanya, keadaan itu seolah-olah kembali ke zaman dahulu kala iaitu nenek moyang membawa jenazah atau ingin menyeberang sungai dengan menaiki bot.
“Hal ini mengundang risiko keselamatan. Kalau sudah sampai seberang, hendak naik ke tebing itu pun mencabar juga.
“Bagi memudahkan penduduk, kami telah mengikat tali bagi mereka tarik ketika hendak turun atau naik tebing untuk urusan harian,” katanya ketika ditemui.
Menurut Abdullah, jambatan itu sebelum ini menjadi penghubung empat buah kampung iaitu Kampung Mambang Berulang, Kampung Gantok, Kampung Raja dan Kampung Sungai Dingin.
Sementara itu, seorang penduduk, Fauzi Abd Rahman, 56, berkata, ketiadaan jambatan konkrit itu sangat mengganggu aktiviti harian penduduk selain mendakwa tiada apa-apa tindakan dilakukan pihak berwajib.
Katanya, sejak ia runtuh tiga tahun lalu, masih tiada tanda-tanda menunjukkan jambatan itu akan dibaiki atau dibina baharu.
“Sebelum pilihan raya, ada orang berjanji mahu bina jambatan baru, dikatakan sudah ada dalam perancangan tetapi tiada pun apa-apa tindakan sampai sekarang.
“Sudah tiga tahun menunggu tetapi nampaknya janji tinggal janji. Saya harap, pihak kerajaan peka dengan masalah penduduk di sini dan jangan hanya datang ke sini bila masa pilihan raya sahaja,” katanya.














