fbpx
Penduduknya sudah lali menggunakan tangga itu setinggi 800 meter.

[VIDEO] Atule’er kampung ‘tangga langit’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELAMA beratus-ratus tahun, penduduk di perkampungan Atule’er di wilayah Sichuan, China mempunyai cara yang sangat mengagumkan untuk keluar masuk dari penempatan mereka.

Penduduk di situ harus mendaki tangga sekurang-kurangnya selama dua jam berikutan perkampungan itu terletak di atas tebing lebih kurang 800 meter dari tanah.

Berita tentang perkampungan itu menjadi tular ke seluruh dunia sekali gus mencetuskan kebimbangan tentang keselamatan kanak-kanak yang turut dilihat perlu mendaki tangga diberi jolokan ‘tangga langit’ tersebut untuk ke sekolah.

Namun, itulah ‘kepakaran’ yang terus diwarisi turun-temurun oleh para penduduk perkampungan yang terletak di atas pergunungan itu. Kampung tersebut bahkan digelar media sebagai cliff village atau kampung cenuram.

Kewujudan kampung itu semakin dikenali dunia sejak tahun 2016 apabila ia rancak dilaporkan media antarabangsa. Tangga panjang di lereng pergunungan curam itu kelihatan begitu menakutkan.

Menurut pengalaman daripada seorang wartawan, Anthony Kuhn, yang pernah ke Atule’er, untuk pergi ke kampung setinggi kira-kira 800 meter itu boleh mengambil masa antara dua hingga empat jam.

“Di sesetengah tempat, terdapat tangga yang diperbuat daripada kayu atau logam berkarat. Di tempat lain, terdapat tali dan kabel keluli.

“Dalam perjalanan naik ke atas, sekitarnya hanyalah beberapa rumpun rumput di antara muka gunung dan lembah sungai yang terhampar ratusan kaki di bawah.

“Di bahagian atas gunung itu terdapat ladang jagung dan rumah-rumah bata lumpur yang dikelilingi puncak gunung diselubungi kabus,” katanya dalam laporan di media antarabangsa.

Tambahnya lagi, kehidupan di atas gunung, rata-rata penduduk menghasilkan makanan sendiri dengan menternak haiwan dan bercucuk tanam.

Berkesempatan tinggal dengan sebuah keluarga petani, Kuhn menggambarkan kehidupan penduduk di sana jauh ketinggalan berbanding di bandar.

“Cuaca di atas gunung amat sejuk, mereka menghangatkan badan dengan membuat unggun api di dalam lubang di ruang tamu, menyebabkan siling rumah hitam kerana asap.

“Di luar ruang tamu utama, khinzir hutan dan lembu tinggal di kandang berasingan. Keluarga itu menyembelih seekor ayam dan merebusnya untuk makan malam kami,” ujarnya.

Dianggarkan berusia 200 tahun, kampung Atule’er merupakan sebuah komuniti miskin dan terpencil yang terdiri daripada 72 keluarga etnik Yi.

Sehingga tahun 1950-an, etnik Yi merupakan minoriti kedua terbesar di China dengan 5.4 juta orang.

Menurut bancian China pada tahun 2000, dalam kalangan mereka yang berumur lebih 15 tahun, hampir satu per empat etnik itu buta huruf.

Kawasan perkampungan Atule’er yang terletak di atas gunung dan tebing cerun.

Hal ini berikutan, di penempatan tersebut tiada sekolah mahupun akses kemudahan awam dan penduduk terutama kanak-kanak perlu mengharungi perjalanan yang mencabar untuk memenuhi keperluan persekolahan di kawasan bandar.

Menurut salah seorang penduduk, Mose Xiongti, 28, kebanyakan penduduk lebih memilih tinggal di atas gunung kerana mereka tidak mampu untuk memiliki rumah di bandar.

“Di atas ini hanyalah penempatan semata-mata, jika mahu membeli barang, kami perlu turun ke bandar, begitu juga buat penduduk yang mahu menjual hasil pertanian mereka dan ia bukanlah satu perjalanan yang mudah.

“Begitu juga buat kanak-kanak, yang perlu jalani perjalanan sama untuk ke sekolah,” ujarnya yang bekerja sebagai buruh binaan berdekatan bandar.

Kongsinya lagi, kehidupan yang dilaluinya dan penduduk kampung mencetuskan kebimbangan ramai pihak sehingga akhirnya wujud usaha menggantikan tangga-tangga kayu dengan besi keluli baharu.

Namun, katanya, meskipun ada saluran bantuan dilakukan dan tangga diganti dengan besi yang lebih tahan, masih terdapat kes kematian berlaku.

Hal itu juga mendapat perhatian pihak pemerintah di China yang turut meletakkan komuniti di kampung Atule’er dalam rancangan mereka untuk membasmi kemiskinan di negara itu.

Sebelum penularan pandemik Covid-19, pemerintah China telah berjanji untuk mengeluarkan semua 1.4 bilion penduduknya daripada kemiskinan menjelang 2020.

Penempatan semula penduduk di puncak tebing adalah sebahagian daripada perancangan secara meluas oleh pemerintah.

Kira-kira 18,000 penduduk miskin atau lebih 4,000 isi rumah telah berpindah ke pembangunan perumahan bandar baharu yang lebih luas dari 92 kampung terpencil di rantau tersebut.

Menurut laporan media antarabangsa, kini terdapat perkembangan baharu buat penduduk di Atule’er. Ramai penduduknya dipindahkan ke pangsapuri berdekatan dengan kawasan bandar.

“Seramai 84 isi rumah telah berpindah ke pangsapuri yang dibina di Zhaojue. Ia adalah sebahagian daripada inisiatif yang lebih besar oleh kerajaan China untuk mengeluarkan rakyatnya daripada kemiskinan,” lapor berita itu.

Meskipun penduduk bakal berpindah ke komuniti yang lebih baik, kampung Atule’er itu sendiri tidak diabaikan.

Masih terdapat 30 isi rumah akan kekal di sana dan status perkampungan itu sebagai destinasi pelancongan mungkin akan diperkukuh.

“Atule’er telah menjadi tarikan pelancong sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pada tahun 2019, 100,000 pelawat menjana hampir 1 juta yuan (RM 636,978) untuk kampung itu dan pembangunan selanjutnya akan memberi perkhidmatan kepada industri pelancongan.

“Kerajaan telah merancang untuk membina kereta kabel bagi membawa pelancong ke atas dan ke bawah tebing,” lapor berita itu lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN