fbpx

Hak jagaan penuh milik Diana, Farid Kamil doa keselamatan anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Farid memberitahu, dia tidak akan rujuk semula dengan bekas isteri, Diana Danielle buat masa sekarang.

SHAH ALAM – “Harap mereka selamat dan bahagia.”

Itu doa yang dititipkan aktor Farid Kamil apabila hak penjagaan penuh dua permata hatinya, Muhammad dan Aurora diperintahkan menjadi milik bekas isterinya, Diana Danielle seperti yang ditetapkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini hari ini.

Farid atau nama penuhnya, Farid Kamil Zahari bagaimanapun menerima keputusan mahkamah dengan berlapang dada dan reda menyerahkan anak-anak bawah jagaan bekas isteri sepenuhnya.

“Saya serahkan hak penjagaan penuh kepada Diana melalui perjanjian secara global (menyeluruh).

“Buat masa sekarang ini, hanya doa Fi Amanillah (di bawah lindungan Allah) buat anak-anak dan berharap mereka akan selamat serta bahagia.

“Saya rasa lega dan bersyukur dengan takdir Allah SWT yang menentukan perjalanan hidup saya,” katanya kepada Kosmo! Online selepas prosiding tuntutan hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini hari ini.

Bintang filem Anwar: The Untold Story itu juga memberitahu kali terakhir dia bertemu dua anaknya ialah sebelum Hari Raya Aidiladha lalu.

“Sebelum raya haji saya jumpa anak. Saya sudah maklumkan kepada Muhammad tentang perkara ini dan harap dia faham mengenai situasi ketika ini.

“Apa yang lebih baik kesihatan mental dan kesihatan mereka buat masa ini,” jelasnya yang hadir ditemani adiknya, Fadzil Zahari.

Dia juga mengakui kerinduan terhadap anak-anak semakin menebal selepas hampir dua bulan tidak bertemu.

“Sudah tentu rindu (anak-anak) walaupun jalan kami (bekas isteri) sudah berbeza.

“Saya selalu buat panggilan video dan dapat berhubung dengan Muhammad dan Aurora melalui WhatsApp,” katanya lagi.

Hari ini, Mahkamah Tinggi Syariah menetapkan hak penjagaan penuh dua anak pasangan selebriti ini menjadi milik Diana.

Bagaimanapun, Farid masih diberikan hak lawatan anak mengikut perjanjian secara global yang sudah dipersetujui kedua-dua belah pihak.

Terdahulu, Farid dan Diana sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 10 Ogos lalu.

Farid melafazkan cerai talak satu di hadapan Hakim Syarie, Shukran Yusof menerusi aplikasi Google Meet memandangkan dia mengalami masalah kesihatan kesan akibat jangkitan Covid-19.

Pada 10 Mac lalu, Diana memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, di mahkamah sama.

Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu ialah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan serta tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI