VANESSA RAYNAULD

Giliran Vanessa Reynauld ‘pecah’ Tembok Besar China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMANFAATKAN laman sosial untuk perkembangan kerjaya membawa tuah kepada penyanyi muda tempatan berusia 23 tahun itu apabila berjaya memancing perhatian penerbit sebuah program televisyen di China.

Bukan sekadar dipelawa sebagai peserta, persembahan pemilik nama lengkap Vanessa Ben Reynauld itu berjaya menarik perhatian keempat-empat juri program realiti Sing! China 2023 di Zhenjiang TV, awal bulan lalu.

Siapa yang tidak berdebar beraksi di hadapan barisan penghibur hebat seperti Emil Chau, Joker Xue, Will Pan dan Henry Lau yang juga anggota kumpulan Super Junior, namun ternyata dia mampu membuktikan kemampuan diri.

Bukan sahaja kelunakan suara yang membantu Vanessa Reynauld terbang ke negara republik itu tetapi kebolehan berbahasa Cina, Inggeris dan Melayu menjadi bonus mengembangkan sayap.

KEMAHIRAN berbahasa Mandarin Vanessa turut menjadi markah tambah dirinya mengembangkan sayap karier di negara China. – MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

Langkah genius dilakukan anak kelahiran Klang itu dengan cubaan menembusi pasaran China berjaya susulan populariti yang bermula dari media sosial di sana.

“Saya ada buat akaun Douyin iaitu aplikasi sama seperti TikTok versi China. Dari situ penerbit program Sing! China 2023 perasan akan kehadiran saya.

“Mahu dijadikan cerita, saya dapat mesej dalam akaun Douyin pada Januari lalu tetapi baru tersedar sekitar April.

“Meskipun agak lama saya balas mesej tersebut, tetapi tidak sangka penerbit memaklumkan saya masih sempat hantar penyertaan,” kongsinya dengan teruja.

Rancak berkongsi pengalaman, Vanessa menceritakan segala perkara yang dilalui sepanjang berada di republik tersebut selama sebulan.

“Setibanya di China, saya perlu mempelajari lagu baharu setiap hari. Contohnya belajar satu lagu hari ini, esok kena masuk studio untuk rakaman.

“Secara totalnya, sebanyak 30 lagu saya pelajari sepanjang sebulan di sana yang turut mencetuskan sedikit tekanan.

“Namun, saya perlu belajar sesuatu yang baharu seperti apa yang diperlukan dalam pasaran China,” ujarnya.

Menjadi rebutan

Ketika program berlangsung dalam blind audition, Vanessa mempersembahkan lagu Riding The Wind nyanyian asal penyanyi David Huang dengan versi tersendiri sehingga memukau seluruh dewan serta juri.

Lebih menarik apabila peserta The Masked Singer Malaysia musim pertama itu menjadi rebutan antara juri untuk direkrut menjadi salah seorang daripada anak didik atau protege mereka.

Ditebak mengenai pengalaman tersebut, Vanessa tidak menyangka akan menyaksikan pertempuran antara juri kerana lebih meletakkan fokus kepada memberi persembahan terbaik.

“Saya tidak sangka keempat-empat juri ‘pusing’ untuk memilih saya kerana sebelum tampil beraksi saya memang tidak meletakkan harapan tinggi.

“Cuma saya mahu orang puas hati dengan persembahan pertama saya di China,” tutur pelantun lagu Andai Itu Takdirnya itu.

NYANYIAN Vanessa di pentas Sing! China 2023 bukan sahaja tular dalam Malaysia, malah di negara China.

Sementara itu, walaupun dalam masa singkat, Vanessa tetap perlu memilih mentornya untuk menjadi tenaga pengajar terbaik sepanjang berada dalam rancangan tersebut.

“Saya pilih Emil Chau kerana dia mahir dalam pemilihan lagu genre power ballad. Di China, dia seorang legenda dan saya memang mengenalinya.

“Pada mulanya teragak-agak mahu pilih Emil atau Henry kerana saya boleh belajar sesuatu perkara lain seperti nyanyikan lagu genre R&B dan rap.

“Melihat kepada kebaikan karier, saya akhirnya memilih Emil yang boleh bantu cara nyanyian saya lebih bagus daripada sekarang,” katanya.

Pasang impian

Bintang filem 7 Minggu Sebelum Kahwin itu berpuas hati dapat membolosi peringkat awal Sing! China 2023 namun dengan apa yang berlaku, dia ingin terbang lagi tinggi dalam pertandingan.

Sekarang, dia lebih menumpukan kepada pengalaman selain membina hubungan baik dengan penyanyi di luar negara untuk kebaikan masa hadapan.

“Harapan saya sudah tercapai apabila semasa blind audition, ramai nampak bakat saya.

VANESSA pernah menyertai pertandingan nyanyian di Beijing iaitu China Overseas Youth Chinese Singing Competition dan hasil usahanya berjaya memenangi pingat perak.

“Melihat sokongan rakyat Malaysia, kawan-kawan dan keluarga kalau boleh saya mahu sampai akhir dalam pertandingan.

“Menang atau tidak tiada masalah. Saya cuma mahu timba pengalaman dan membina rangkaian perhubungan demi melebarkan sayap karier,” jelasnya lagi.

Vanessa tidak menolak sekiranya dapat melakar nama dalam industri China suatu hari nanti seperti apa dilakukan Shila Amzah.

“Saya ingin membina karier dalam Malaysia kerana nilai bertungkus lumus dan saya tidak mahu sia-siakan peluang di negara orang lain.

“Namun, apabila sampai di sana (China), kemungkinan saya akan bina kerjaya di sana tanpa menutup pintu karier dalam Malaysia juga,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN