fbpx

Anggota bomba tidak sempat nikah, maut dirempuh MPV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN bomba cuba mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah MPV dalam nahas di Masjid Tanah, Melaka, hari ini. (Gambar kecil: Muhammad Hafize)

ALOR GAJAH – Hasrat seorang anggota bomba bantuan untuk melangsungkan majlis pernikahannya pada tahun hadapan tidak kesampaian selepas dia maut dalam nahas di Jalan Hutan Simpan, Masjid Tanah, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi itu, mangsa, Muhammad Hafize Muhamad Sabri, 25, yang menunggang motosikal meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa yang menungang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Pulau Gadong selepas selesai bertugas di Balai Bomba Masjid Tanah.

“Setiba di lokasi, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina dipandu seorang wanita yang dari bandar Melaka hendak ke Paya Mengkuang telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“MPV itu telah merempuh motosikal yang mangsa tunggang dan akibat kemalangan itu, lelaki tersebut mengalami kecederaan parah di kepala serta anggota badan. Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Tambahnya, pemandu wanita berkenaan bagaimanapun hanya mengalami luka di anggota badan.

Mengulas lanjut beliau berkata, mangsa dimaklumkan telah bertunang dan dijangka akan melangsungkan majlis pernikahannya pada tahun hadapan.

“Mangsa masih bujang, bagaimanapun dia telah bertunang dan dijangka tahun hadapan akan berkahwin.

“Mayat mangsa telah dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat dan setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI