fbpx

Pengurus projek didakwa lakukan perlombongan silika haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH (kiri) keluar daripada mahkamah selepas didakwa menjalankan perlombongan tanpa lesen di Mahkamah Sesyen Kuantan di Kuantan, hari ini.

KUANTAN – Seorang pengurus sebuah projek didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan menjalankan perlombongan mineral jenis silika tanpa lesen pada 21 Mei lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Teh Tze Jin, 45, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dihadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut kertas pertuduhan, pada 21 Mei lalu kira-kira pukul 4.10 petang, tertuduh telah melakukan kesalahan menjalankan perlombongan tanpa lesen atau pajakan sah di sebuah kawasan bersebelahan tapak projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) Sungai Baging, Mukim Sungai Karang, di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001 yang boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pegawai penguatkuasa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah membuat pemantauan pada tarikh tersebut dan menyita sebuah jentera yang terlibat mengeluarkan pasir silika secara haram.

Tertuduh dipercayai mengeluarkan arahan kepada pemandu jentera bagi menjalankan kerja-kerja pemindahan pasir silika di kawasan berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa UPNP, Taqiuddin Azizan dan Hasmadi Mahyuddin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Rusnizam Abdullah.

Dalam prosiding pihak pendakwaan memohon agar tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan dua orang penjamin selain memohon satu tarikh baharu bagi tujuan penyediaan dokumentasi.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam memohon agar jumlah wang jaminan dikurangkan kerana tertuduh yang telah berkahwin perlu menanggung seorang isteri yang tidak bekerja dan empat orang anak berusia antara dua hingga lapan tahun.

Hakim menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 oleh seorang penjamin selain mengarahkan agar pasport tertuduh diserahkan kepada pihak mahkamah sehingga perbicaraan selesai dan mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 8 September depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI