fbpx

Naluri ibu seakan tahu Sharipuddin akan pergi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Maznah menunjukkan gambar Allahyarham Sharipuddin yang tular di laman sosial ketika ditemui di rumahnya di Arau, hari ini.

ARAU – Naluri seorang ibu seolah-olah dapat merasai pemergian anak lelakinya, Sharipuddin Shaari, 53, yang meninggal dunia dalam tragedi pesawat terhempas di Elmina, Seksyen U16, Shah Alam, semalam.

Menurut sepupu Saripuddin, Maznah Abdullah, 68, ibu saudaranya, Hatun Abu Bakar, 80-an, yang tinggal berdekatan rumahnya dilihat sering termenung sejak kira-kira tiga hari lalu sebelum kejadian menimpa anak lelakinya itu.

“Kami selalu berkumpul pada waktu petang di rumah saya dan saya mempelawa ibu saudara makan, namun dia tidak mahu kerana tidak ada selera makan.

“Ibu saudara saya ini juga dilihat sering termenung selain pernah menyuarakan hasrat untuk pergi ke Sepang kerana teringatkan Sharipuddin,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rani Estate, di sini hari ini.

Sharipuddin yang berasal dari Arau, di sini meninggalkan seorang balu, Suriana Muda, 43, dan dua anak iaitu Muhammad Sharul Izuan, 16, serta Nur Izzara Arissya, 9.

Menurut Maznah, Allahyarham Sharipuddin seorang yang sangat rapat dengan ahli keluarga, disenangi ramai selain ringan tulang.

“Memang saya terkejut dan terasa dengan pemergiannya kerana dia memang rapat dan kali terakhir saya berjumpa dengannya pada Hari Raya Aidilfitri lalu ketika dia pulang ke kampung.

“Sharipuddin ialah bekas askar dan dia pernah bertugas sebagai pengawal keselamatan di Hospital Tuanku Fauziah di Kangar sebelum berhijrah ke Sepang, Selangor,” ujarnya.

Katanya, arwah merantau ke Sepang untuk mencari peluang pekerjaan susulan ketidaktentuan ekonomi selepas pandemik Covid-19.

“Dia berpindah ke Selangor selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menyara kehidupan dengan bekerja sebagai pemandu e-hailing kerana isterinya tidak bekerja manakala dua anak masih bersekolah” jelasnya dalam keadaan sebak kerana kehilangan sepupu rapat.

Menurutnya, ibu saudaranya dan beberapa ahli keluarga lain bertolak ke Selangor untuk proses pengecaman dan pengurusan mayat selepas solat subuh, pagi tadi.

Tambahnya, ahli keluarga tidak memberitahu ibu saudaranya mengenai kejadian itu kerana wanita terbabit mempunyai masalah jantung dan bimbang perkara tersebut akan menyebabkan kejutan padanya.

Katanya lagi, perkara sebenar akan diberitahu apabila mereka sampai di hospital bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku sepanjang perjalanan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI