fbpx

Tat Meng dakwa seperti ‘dibuli’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wong Tat Meng (kanan) menyuarakan rasa terkilan selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak membenarkan pemain-pemain profesional memakai pakaian sukan jenama selain penaja badan induk itu jika mahu berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

KUALA LUMPUR – Jurulatih Lee Zii Jia, Wong Tat Meng meluahkan rasa terkejut berhubung peraturan baharu yang dikenakan ke atas pemain-pemain badminton profesional negara jika mahu menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Beliau mendakwa seperti ‘dibuli’ apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mewajibkan pemain-pemain profesional tidak memakai pakaian sukan jenama selain daripada penaja badan induk itu.

Tat Meng menyuarakan rasa kecewa tatkala peraturan tersebut dikuatkuasa ketika pemain-pemain negara sedang mempersiapkan diri bagi menghadapi Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark minggu depan.

“Sebelum Kejohanan Dunia, BAM memaklumkan pada kami bahawa mereka mewajibkan pemain profesional tidak memakai pakaian sukan jenama selain daripada penaja BAM jika mereka mahu menjalani latihan bersama pada hari Rabu.

“Saya benar-benar terkejut dengan peraturan ini memandangkan ianya dikuatkuasa ketika persiapan menjelang Kejohanan Dunia. Sejak Disember tahun lalu, BAM telah menjemput Lee Zii Jia untuk berlatih bersama pemain naungan BAM setiap hari Rabu dan kami berbesar hati.

“Konflik penajaan bukan sahaja pertimbangan BAM, begitu juga untuk pasukan kami yang bukan sahaja membabitkan Zii Jia, malah barisan jurulatih serta pakar kecergasan dan fisio kami, disebabkan itu kami tidak dapat memenuhi jemputan latihan ke ABM sebelum ke Denmark,” katanya mnerusi satu kenyataan di Instagram miliknya hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan pendirian BAM sebelum ini yang mengatakan semua pemain membawa nama Malaysia, tidak kira sama ada bernaung di bawah BAM ataupun bergerak secara profesional.

“BAM sering berkata tidak kira pemain kebangsaan mahupun profesional, mereka semua adalah pemain Malaysia dan kegemilangan dikongsi bersama, namun peraturan ini tidak melambangkan rasa bersama itu,” ujarnya.

Ketika ini, BAM ditaja oleh syarikat peralatan sukan terkemuka, Yonex manakala Zii Jia menandatangani kontrak penajaan bersama Victor selepas dia meninggalkan badan induk itu untuk bergerak secara profesional awal tahun lalu.

Dalam pada itu, Tat Meng yang memulakan tugasnya selaku jurulatih Zii Jia bulan lalu menjelaskan, kenyataan tersebut dibuat bagi mengelakkan sebarang pandangan daripada pelbagai pihak bahawa mereka enggan bekerjasama dengan BAM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI