fbpx

Santan segar baik untuk jantung, otak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DR. AZMAN (kiri) mencuba minum santan segar di Stesen Mardi Bagan Datuk kelmarin.

BAGAN DATUK – Amalan minum santan kelapa segar sebenarnya baik untuk kesihatan otak, jantung, paru-paru, sistem imuniti tubuh serta mengurangkan obesiti.

Pengerusi Lembaga Pengelola Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr. Azman Ismail berkata, dia menyangkal persepsi umum bahawa penggunaan santan yang kerap meningkatkan kolesterol dan menjejaskan kesihatan.

Jelasnya, secara umum, santan dan air kelapa adalah bahan yang sihat dengan air kelapa boleh digunakan untuk menggantikan bahan galian yang hilang dalam tubuh selepas bersukan.

“Bagaimanapun, santan lebih istimewa sebab lemak dalam santan dipanggil trigliserida rantaian sederhana (MCT) yang sama dengan lemak dalam susu ibu, iaitu lemak yang secara fisio­logi paling sesuai dengan badan manusia, baik untuk otak, jantung, paru-paru dan sistem imuniti manusia.

“MCT adalah makanan yang paling disukai oleh jantung dan paru-paru untuk sistem imuniti dalam melawan jangkitan kuman dan ada khasiat antibakteria, antivirus termasuk HIV dan Co­vid-19,” katanya selepas pelancaran empat benih baru kelapa hibrid di Stesen Mardi Bagan Datuk di sini kelmarin.

Menurut Dr. Azman, penggunaan santan atau lemak untuk kesihatan telah diketahui oleh kebanyakan tempat di dunia, contohnya serbuk santan asli dari Malaysia menjadi minuman kesihatan popular di China.

Beliau memaklumkan terdapat dua syarikat di Malaysia yang mengeluarkan serbuk santan asli sehingga tidak ‘menang tangan’ kerana permintaannya sangat tinggi di luar negara sehingga terpaksa mengimport kelapa dari Indonesia.

Ujarnya, atlet yang mencapai keupayaan luar biasa dalam sukan kebanyakannya menggunakan lemak MCT dalam diet pemakanan untuk tenaga mereka.

Pada masa sama, mereka yang mahu mengawal berat badan, pulih daripada obesiti dan diabetes, boleh dilakukan menggunakan kaedah berpuasa, diet rendah karbohidrat serta tinggi lemak MCT.

“Di China, santan dikenali sebagai minuman ‘susu ibu’, kalau pergi ke restoran, mereka tidak minta teh tarik, tetapi serbuk santan diminum bersama air panas sebagai minuman kesihatan setiap hari,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI