fbpx
Kajian untuk menghasilkan daging alternatif haiwan tradisional giat dilakukan.

Mikroprotein pengganti daging mesra alam, murah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KELANGSUNGAN sumber makanan merupakan antara isu yang semakin mendapat perhatian terutama dari aspek tingkat ketersediaan untuk jangka masa panjang.

Dalam usaha mendepani ancaman sekuriti makanan terutama di negara ini, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi menjamin kecukupan makanan berkhasiat pada masa hadapan.

Ketersediaan dan kecukupan makanan berkhasiat adalah penting untuk menentukan kadar tumbesaran tubuh badan sihat serta akal cerdas, selain mewujudkan kesediaan sumber tenaga kerja berkualiti bagi sesebuah negara.

Menurut saintis makanan dan pengasas syarikat inovasi bioteknologi, Ultimeat, Alfred C. Cheung, antara usaha yang dilaksanakan bagi kelangsungan sumber makanan adalah inovasi alternatif untuk protein.

“Pada masa ini, terdapat pelbagai sumber alternatif protein telah diperkenalkan dan dikomersialkan seperti makanan berasaskan tumbuhan iaitu tauhu daripada kacang soya dan seitan (gandum) yang merupakan bahagian penting dalam diet vegetarian dan vegan.

“Namun begitu, terdapat juga satu sumber protein yang kurang mendapat perhatian tetapi merupakan alternatif mapan dan mesra alam kepada protein haiwan tradisional iaitu mikroprotien,” katanya ketika dihubungi K2 menerusi e-mel baru-baru ini.

Tambahnya, mikroprotein merupakan alternatif makanan berasal daripada kulat (cendawan) yang dicipta melalui proses yang dikenali sebagai penapaian biojisim.

Kongsinya lagi, pada asasnya, proses penghasilan mikropotein menggunakan kandungan protein tinggi dan pertumbuhan pesat mikroorganisma kulat untuk menghasilkan sejumlah besar makanan yang kaya dengan sumber protein dengan cekap.

Mikroprotein merupakan alternatif makanan berasal daripada kulat (cendawan) melalui proses penapaian biojisim.

Jelas Alfred, oleh kerana penapaian adalah proses semula jadi, ia mempunyai kelebihan tambahan dari segi kos yang jauh lebih murah daripada kaedah lain untuk mencipta produk protein alternatif.

“Penapaian menggunakan kurang tenaga dan menggunakan sumber karbon serta nitrogen dan sebagai bonus adalah lebih baik untuk alam sekitar.

“Tambahan pula, menggunakan kulat untuk mikroprotein juga menjadikan ia mempunyai rasa dan tekstur yang hampir sama dengan daging sebenar,” ujarnya.

Jelasnya lagi, kulat juga mempunyai miselium atau dikenali sebagai rangkaian serat bercabang dan berkembang dalam corak serupa dengan otot daging sebenar semasa proses penapaian.

Ia bukan sahaja meningkatkan keaslian mikroprotein, tetapi juga membezakannya daripada protein berasaskan tumbuhan lain yang sering tidak mempunyai persamaan dengan daging sebenar.

Inovasi protein alternatif ini turut dilaksanakan di Ultimeat dalam usaha untuk menjamin kelangsungan sumber makanan terutama buat pengganti daging.

Kongsinya lagi, mikroprotein mempunyai khasiat pemakanan yang sangat baik iaitu menyediakan tahap protein dan serat yang tinggi sambil mengandungi kadar lemak yang lebih rendah.

“Selain itu, ia juga rendah kadar natrium dan kolesterol sifar, malah kualiti proteinnya lebih tinggi daripada beberapa jenis daging konvensional.

“Apabila produk berasaskan mikoprotein dihasilkan daripada cendawan secara khusus, ia juga boleh mempunyai kandungan tahap tinggi asid glutamat, asid amino yang membantu metabolisme, otak dan fungsi jantung,” jelasnya.

Katanya, memilih mikroprotein bukan sahaja menawarkan pilihan yang mampan dan berkhasiat tetapi turut memberi penyelesaian bagi kos penghasilan makanan alternatif.

Produk berasaskan mikroprotein juga memberikan rakyat Malaysia protein alternatif berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan, membuka laluan ke arah masa depan tanpa daging.

“Ia juga boleh menyumbang kepada pendapatan negara menerusi industri penghasilan sumber makanan alternatif.

“GlobalData turut melaporkan pasaran pengganti daging Malaysia dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun nilai (CAGR) sebanyak 7.4 peratus sepanjang tahun 2023 hingga 2027,” kongsinya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN