fbpx
NADIA BRIAN

Ramai DM, ustaz pun cuba ‘pikat’ – Nadia Brian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAKAT lakonan wanita bernama Nadia Brian yang sudah hampir sedekad menghiasi langit industri seni tanah air ini tidak perlu dipersoalkan.

Wajahnya terpapar dalam variasi naskhah bersama pembawaan segala karakter. Bermula dengan watak air mata sehingga karakter seram, termasuklah menerusi filem yang mendapat cemuhan ramai, Ratu Kala Jengking.

Namun hakikat hidup berpandukan budaya dan agama, penampilan Nadia yang saban hari semakin terdedah pantas mengundang kata nista netizen yang sentiasa memerhati segala tindak-tanduknya.

Ibarat tidak pernah serik menuang minyak ke dalam api, Nadia atau nama lengkapnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi itu sekali lagi ditusuk dengan kata-kata tajam netizen apabila meluahkan keinginan mahukan suami yang kuat agama.

Mana tidaknya, pakaian aktres kelahiran Kangar, Perlis yang acap kali dicemuh tidak cukup kain itu bagaikan tidak selari dengan impian ingin bersuamikan lelaki alim.

Lebih teruk, terdapat sebilangan netizen yang menyifatkannya bermimpi di siang hari dan tidak berpijak di bumi nyata.

Tidak berdiam diri, Nadia tampil mempertahankan suara hati yang dirasakan bukan suatu keinginan yang salah atau melampaui batasan.

KESIBUKAN kerja dan jadual lakonan yang terlalu padat membuatkan Nadia tiada masa untuk mengenali mana-mana lelaki untuk dijadikan raja di hati.

Lelaki beriman

Kata aktres berusia 32 tahun itu, sudah menjadi kemestian bagi wanita untuk mencari imam yang boleh membimbing mendapat reda Ilahi.

“Saya disua soalan tentang ciri bakal suami yang dicari, jadi saya beri kenyataan inginkan lelaki beragama, tetapi mungkin dalam penulisan, ada penambahan perkataan sehingga mengundang kecaman ramai.

“Sebagai wanita, mestilah kita inginkan lelaki yang mampu membimbing selain boleh mengharungi susah senang bersama.

“Namun saya akui, untuk berubah sebenarnya bergantung pada diri sendiri,” jelasnya tenang.

Dalam pada itu, Nadia memberitahu ada beberapa individu yang cuba menyapanya menerusi direct message (DM) Instagram usai kenyataannya berkaitan mahu suami kuat pegangan agama.

“Ramai sebenarnya yang mesej saya melalui Instagram dan ada juga ustaz yang katanya berada di Mekah turut berminat dengan kenyataan saya.

“Bagaimanapun saya tahu semua orang hanya main-main sahaja untuk konten di TikTok ataupun platform sosial media yang lain, jadi saya anggap mereka hanya bergurau dengan saya,” tutur Nadia sambil tertawa kecil.

Nadia bakal muncul dengan drama terbaharu lakonannya berjudul Barista: Misi Terpaling Sulit menerusi saluran Astro Ria.- AMIR KHALID

Doa baik-baik

Begitupun, wanita paras jelita itu enggan ambil pusing malah berharap orang ramai tidak menjadikan kenyataan sebegitu sebagai bahan sindiran sebaliknya mendoakan yang baik- baik sahaja.

“Saya tahu ramai kata saya tak sesuai dengan orang alim sebab pakaian, cuma apa yang boleh saya kata doa yang baik-baik, lagipun penampilan saya tidaklah keterlaluan.

“Jika kalian rasa keterlaluan, saya minta maaf, saya masih menjaga batas, tidak mengganggu sesiapa dan tahu menjaga diri dan saya berniat nak berubah menjadi lebih baik,” katanya.

“Inisiatif mendekati agama seperti mengaji tidak pula saya berkongsi kepada orang ramai sebab benda baik ini biarlah saya sahaja yang tahu,” jelasnya.

Nadia percaya, setiap manusia melalui fasa iman turun naik, namun seiring masa, masing-masing akan berbalik ke arah lebih baik.

“Semua manusia tidak sempurna, ada fasa yang perlu dilalui, saya anggap itu semua ujian. Apapun marilah sama-sama kita mendoakan yang baik-baik untuk semua orang.

“Jauhi diri daripada menganiaya atau menipu orang, pada akhirnya kita semua mahukan pengakhiran yang baik dalam hidup kita,” jelasnya.

Enggan larut dalam konteks penampilan seksi dan kriteria bakal suami, dramatis tersebut sempat berkongsi cabaran membawa watak Ejen K dalam drama Barista: Misi Terpaling Sulit.

SELAIN mengimpikan ‘imam’ yang dapat membimbingnya ke landasan yang benar, Nadia juga mahukan lelaki yang mudah serasi dengan dirinya.

Ejen K

Jelas Nadia, memegang watak sebagai Ejen K menuntutnya kekal cergas dan berstamina demi menjayakan babak-babak aksi sesuai karakter sebagai seorang perisik atau ejen.

“Babak aksi semua saya buat sendiri tetapi dibantu juga dengan koreografer. Saya dan Sherry memang akan buat latihan supaya mengelakkan sebarang kecederaan.

“Memang penat tapi saya suka watak mencabar seperti ini, secara tidak langsung menguji kebolehan saya dalam mempelbagaikan karakter yang sesuai tuntutan naskhah dan pengarah,” jelasnya.

Nadia menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang bekerjasama dengan pasukan produksi yang tidak lokek ilmu dan sentiasa membantu.

“Cerita pasal babak aksi ni, saya kena berterima kasih kepada Abang Labu (pengarah) dan barisan pelakon sebab tak henti-henti beri semangat kepada kami untuk menjayakan aksi bertarung dengan musuh dan babak lasak yang lain.

“Watak Ejen K merupakan karakter yang memberi ruang untuk saya mengeksplorasi sisi lakonan saya yang sangat berbeza dengan watak-watak yang biasa saya bawa.

“Semoga lepas ini lebih banyak watak aksi yang saya boleh buat,” katanya menutup bicara.

Menerima banyak direct message (DM) termasuk ada ustaz yang cuba memikatnya menerusi Instagram, Nadia menganggap semua itu gurauan untuk konten media sosial masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN