fbpx

PGA, Platun Harimau berkas 17 PATI, dua tekong darat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD Mohsin menunjukkan barang kes yang dirampas PGA dalam serbuan ke atas PATI di Felda Chuping, Mata Ayer di sini semalam.

ARAU – Seramai 17 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua tekong darat berjaya diberkas Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 2 dalam Op Taring Wawasan Kedah/Perlis di Felda Chuping, Mata Ayer di sini semalam.

Dalam serbuan pukul 8.30 pagi itu, gabungan anggota PGA Batalion 2 dan Platun Harimau sedang menjalankan operasi jejak aktiviti penyeludupan dan serang hendap di kawasan sempadan Malaysia-Thaialand.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, gabungan pasukan itu berjaya mengesan jejak pejalan kaki melalui kawasan semak samun dari pagar sempadan dan mengekori kesan tersebut sehingga lima kilometer.

“Sebaik sahaja memasuki kawasan Felda Chuping, Mata Ayer, pasukan itu ternampak sekumpulan individu sedang berjalan kaki dalam kebun getah dalam keadaan mencurigakan dan menghampiri mereka.

“Pemeriksaan menemui seramai 14 lelaki dan tiga perempuan dipercayai PATI warga negara Myanmar dan kesemua mereka ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Arau di sini hari ini.

Tambah Ahmad Mohsin, kira-kira 20 minit kemudian, sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna kelabu menghampiri lokasi tangkapan dan terus memecut apabila diminta turun untuk pemeriksaan oleh anggota PGA.

Katanya, anggota PGA terus mengejar kereta suspek kira-kira 300 meter hingga ke jalan denai sebelum kenderaan itu tersangkut di jalan mati.

Seorang lelaki tempatan dan wanita warga Thailand tanpa dokumen perjalanan sah yang dipercayai tekong darat terpaksa menyerah diri kepada pihak berkuasa setelah tidak mampu melarikan.

“Kesemua 14 PATI lelaki berusia lingkungan umur 16 hingga 27 tahun manakala tiga PATI perempuan berusia lingkungan 28 hingga 42 tahun ditahan.

“Semakan terhadap lelaki tempatan berusia 32 tahun mendapati suspek memounyai dua rekod berkaitan ketum. Dia dan wanita Thailand berusia 30 tahun itu juga positif dadah jenis Methamphetamine,” ujarnya.

Menurut Ahmad Mohsin lagi, siasatan awal mendapati kesemua PATI itu merentasi perjalanan dari Myanmar ke sempadan Malaysia-Thailand menaiki bas selama empat hari sebelum ditahan di negara ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI