fbpx

Naib Pengerusi Persatuan Keturunan Lim Malaysia nafi guna gelaran Datuk Seri palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi pegawai dan anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh, Melaka. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Naib Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Keturunan Lim Malaysia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan gelaran Datuk Seri yang tidak diiktiraf pada 2019.

Tertuduh, Lim Teng Huat, 67, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandrin di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan gelaran Datuk Seri yang tidak diiktiraf daripada watikah kurniaan Darjah Kurnia Paduka Seri Diraja Perak (D.S.D.P).

Kesalahan itu dilakukan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Negeri Melaka dalam daerah Melaka Tengah pada 14 Oktober 2019.

Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara tidak kurang satu tahun dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 7(3) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Perak 2016 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 7 (4) Enakmen sama.

Mengikut fakta kes tertuduh merupakan Naib Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Keturunan Lim Malaysia dan Pengerusi Persatuan Keturunan Lim Melaka.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah kerana khuatir tertuduh yang mempunyai perniagaan di Indonesia akan melarikan diri ke negara itu.

Tertuduh diwakili peguam Khaw Thian Keat bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya tidak akan melarikan diri kerana perlu membuat pemeriksaan susulan di hospital selepas menjalani pembedahan jantung tahun lalu.

Setelah mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah. Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 12 September untuk sebutan semula kes.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI