fbpx

MB Johor kecewa longgokan sampah dalam Sungai Skudai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ONN HAFIZ (tengah) turut terlibat mengutip sampah pada Program Pembersihan Sungai Skudai sempena Johor Bersih di Sungai Skudai di Taman Impian Emas, Johor Bahru semalam. – RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Kerajaan ne­geri memandang serius mengenai tahap kebersihan Sungai Skudai di sini yang disifatkan sangat mendukacitakan dan dipenuhi pelbagai longgokan sampah sarap dan sisa buangan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, dia sendiri terkejut apabila menemukan banyak bangkai haiwan dan sampah plastik ketika mengadakan Program Pembersihan Sungai Skudai sempena Johor Bersih di Sungai Skudai, Taman Impian Emas di sini semalam.

Susulan itu katanya, kerajaan negeri akan mencari ikhtiar bagi melaksanakan inisiatif yang dirancang menerusi Program Johor Bersih agar objektifnya tercapai, sekali gus menjadikan Sungai Skudai sebagai sungai contoh di negeri ini.

“Semasa menjalankan kerja-kerja pembersihan Sungai Skudai, saya nampak sendiri banyak bangkai haiwan seperti ayam dan ikan. Ini tidak termasuk plastik sampah dan lampin pakai buang dan ia sangat mendukacitakan.

“Justeru, kerajaan negeri akan terus melaksanakan program Johor Bersih ini ke fasa sete­rusnya bagi mencapai objektif untuk memastikan Sungai Skudai sepanjang 52 kilometer ini benar-benar bersih.

“Kita mahu mentranformasikan Sungai Skudai ini (dahulunya antara sungai paling tercemar dalam negara) menjadi salah satu contoh bukan sahaja di negeri Johor tetapi di Malaysia secara ke­seluruhan,” katanya selepas menjalankan program pembersihan Sungai Skudai di Sungai Skudai, Taman Impian Emas, di sini semalam.

PELBAGAI pelan telah dirangka untuk menjadikan Sungai Skudai sebagai sungai contoh di Johor.

Onn Hafiz berkata, pihaknya akan menekankan 10 perkara dalam Rancangan Kawasan Khas (RKK) Sungai Skudai yang perlu dilaksanakan bagi memastikan pembersihan sungai berjalan.

Beliau berkata, antara perkara itu ialah penguatkuasaan Empat lokasi perkampungan setinggan dan dua Lokasi pencerobohan, penguatkuasaan tapak pembuangan sampah haram, pembersihan fizikal sungai skudai (sistem mekanikal) serta cada­ngan membina perangkap sampah dan penguatkuasaan pelepasan air sisa.

Tambahnya, turut dilaksanakan ialah cadangan menaik taraf perangkap sampah sedia ada, mewujudkan Taman Pesisir Air Eko Sungai Skudai, cadangan denai sungai dan penghutanan semula Sungai Skudai.

“Pelan ini sepatutnya dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun, namun saya minta ini dipendekkan kepada tempoh lima tahun, kerjasama semua pihak adalah penting khususnya masyarakat setempat,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan ne­geri juga akan memindahkan lebih 1,000 kediaman setinggan yang dikesan di sepanjang 52 kilometer jajaran Sungai Skudai bagi memastikan pencemaran sungai itu diatasi sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, penempatan setinggan di Sungai Skudai itu dikenal pasti salah satu punca sungai itu teruk tercemar sehingga kini walaupun kerja pembersihan dilakukan berkali-kali.

“Sikap penduduk di kawasan setinggan yang kerap membuang sampah merata-rata termasuk ke dalam sungai berkenaan menjadi punca Sungai Skudai ini masih terus tercemar,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI