fbpx

40 lokasi sampah haram penuh sisa binaan bangunan di Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SWCorp Negeri Melaka merekodkan 40 lokasi longgokan sampah haram di sekitar negeri sejak awal tahun ini.

MELAKA – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Melaka merekodkan 40 lokasi longgokan sampah haram di sekitar negeri sejak awal tahun ini.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Melaka, Khairul Adha Ab. Mutalib berkata, pemeriksaan penguat kuasa di lokasi mendapati kebanyakan kawasan dipenuhi dengan sisa binaan bangunan termasuk kegunaan projek perumahan.

Jelasnya, kegiatan tersebut dipercayai dilakukan oleh syarikat-syarikat pemaju yang enggan mengeluarkan kos untuk membawa dan membuang sisa binaan ke lokasi sepatutnya.

“Pada tahun lalu kita merekodkan jumlah kumulatif lokasi sampah haram sebanyak 57 lokasi dan 37 daripadanya telah berjaya ditutup.

“Sehingga semalam kita masih merodkan sebanyak 40 lokasi sampah haram dan kebanyakannya berpunca daripada tindakan pihak tidak bertanggungjawab iaitu dipercayai kontraktor yang membuang sisa binaan bangunan termasuk rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pusat Pandu KITARecycle yang disempurnakan oleh Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin di Taman Botanikal Melaka, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tambahnya, kebanyakan kontraktor yang terlibat juga disyaki tidak memiliki lesen pemungutan sisa pepejal.

Ujarnya susulan itu, pihaknya telah menempatkan pasukan penguat kuasa bagi mengawal kegiatan pembuangan sampah haram dan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu dikesan terlibat.

Dalam pada itu, Mohd. Norlisam pula memberitahu, sebanyak 117,307 kilogram (kg) barangan kitar semula berjaya dikumpul dalam tempoh tujuh bulan menerusi program KITARecycle.

“Pada tahun ini kita sasar untuk mewujudkan lima lagi Pusat Pandu Lalu Kitar Semula (PPLK) di negeri ini bagi memudahkan dan menggalakan orang ramai menyertai program kitar semula.

“Ketika ini kita mempunyai tiga lokasi iaitu di Taman Botanikal Ayer Keroh, Taman Bukit Rambai dan Masjid Tanah. PPLK di Taman Botanikal ini adalah yang pertama dan telah mencatatkan kutipan hampir 6,000 kg sejak beroperasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI