fbpx
Sejak tahun 1999, Choo Teck telah menghasilkan sebanyak 800,000 origami jet pejuang di kediamannya di Bukit Jambul, Pulau Pinang.

Hasilkan 800,000 origami jet pejuang, Choo Teck pernah impi buka galeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MESKIPUN usianya sudah mencecah 88 tahun, seorang pesara guru dari Bukit Jambul, dekat George Town, Pulau Pinang tidak mahu mensia-siakan waktu terluang sebaliknya ingin memanfaatkan usia emasnya itu untuk melakukan aktiviti yang lebih berfaedah.

Ee Choo Teck yang berasal dari Yong Peng, Batu Pahat, Johor berkata, dirinya tidak terfikir untuk menjadikan aktiviti melipat kertas atau origami sebagai hobi setelah bersara secara rasmi kira-kira 28 tahun lalu memandangkan dia tidak mempunyai kemahiran dan minat ke arah itu.

“Minat untuk menghasilkan origami kapal terbang mula tercetus apabila saya pergi ke sebuah pameran kapal terbang di Singapura iaitu di Lapangan Terbang Changi sekitar tahun 1999.
“Di situ saya rasa terpegun melihat beberapa buah kapal terbang dan jet pejuang moden yang dipamerkan sekali gus membuatkan hati terdetik untuk menghasilkan kapal terbang kertas melalui teknik origami,” katanya kepada Panorama ketika ditemui di kediamannya di Bukit Jambul baru-baru ini.

Dia yang mempunyai pengalaman mengajar sebagai guru subjek Bahasa Mandarin di beberapa buah sekolah di selatan tanah air selama 36 tahun itu tidak mengikuti sebarang kelas origami mahupun mempelajarinya dari mana-mana medium sebaliknya mempelajari kemahiran itu dengan berlatih sendiri selama beberapa minggu sahaja.

“Tidak dinafikan pada permulaannya teknik origami agak sukar, namun setelah saya mempraktikkan teknik hampir setiap hari ia berubah menjadi lebih mudah dan tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk disiapkan.

“Contohnya untuk menghasilkan sebuah kapal terbang biasa dengan menggunakan kertas A4 hanya memerlukan masa kira-kira empat minit. Jika bentuk kapal terbang yang besar sedikit boleh disiapkan dalam enam hingga 10 minit,” katanya.

CHOO TECK berasa seronok melakukan kerja-kerja melipat kertas itu.

Menurutnya, hasil origami pertama yang dihasilkan ialah sebuah pesawat atau jet pejuang F-16 iaitu dengan menggunakan kertas A4.

“Disebabkan sudah mendapat rentak (menghasilkan origami), sehingga kini saya mampu menghasilkan kira-kira 100 jenis jet pejuang sehari yang kebanyakannya dari jenis F-15 dan F-16.

“Selain itu, saya juga berjaya menghasilkan 600 jenis jet pejuang termasuk kapal perang pelbagai bentuk dan saiz.

“Malah, kalau diikutkan anggaran jumlah keseluruhan origami kapal terbang yang dihasilkan saya sejak tahun 1999 hingga sekarang ialah hampir 800,000 buah,” kata bapa kepada lima orang anak itu.

Choo Teck menambah, hasil origami tersebut turut dijual di sebuah pasar dekat Lebuh Armenian, George Town dengan harga antara RM5 sehingga RM20 sebuah mengikut bentuk dan saiz.

“Dalam sehari, kira-kira 50 buah jet terjual. Sedikit sebanyak wang tersebut dapat digunakan sebagai perbelanjaan harian.

“Pada masa sama, saya juga berasa seronok untuk menghasilkan lebih banyak origami kerana ia memberi kepuasan kepada diri,” katanya yang juga tidak lokek untuk memperuntukkan sebahagian pendapatannya itu bagi didermakan kepada mereka yang memerlukan.

Datuk kepada tujuh orang cucu itu berkata, terdahulu dia pernah mengadakan pameran karyanya itu di Kompleks Tuanku Abdul Rahman (Komtar) selain turut terlibat dalam pameran di beberapa buah negara termasuk Singapura, Thailand dan Australia kira-kira 10 tahun lalu.

“Dari segi sambutan orang ramai ketika itu memang memberangsangkan. Mereka turut berikan pandangan positif terhadap penghasilan origami seterusnya mendorong saya untuk menghasilkan lebih banyak origami yang lebih berkualiti,” katanya sambil menambah permintaan yang diterima daripada orang ramai lebih menjurus kepada origami jet pejuang.

Dalam pada itu, dia berkata terdapat juga dalam kalangan badan korporat membuat tempahan origami jet pejuang untuk dijadikan sebagai cenderahati dan ada juga dalam kalangan pihak sekolah yang membuat tempahan.

“Paling banyak tempahan yang saya buat ialah sehingga 200 buah origami jet. Kesemua itu saya hasilkan sendiri tanpa bantuan sesiapa kerana lebih berpuas hati dengan hasil sendiri,” katanya lagi.
Choo Teck menambah, origami terbesar yang pernah dihasilkan ialah sebuah pesawat berukuran lebih satu meter dengan memperuntukkan masa selama hampir sehari untuk disiapkan menggunakan beberapa jenis material seperti kertas manila, kadbod serta plastik bagi mengukuhkan struktur pesawat tersebut.

“Pesawat itu saya tidak jual sebaliknya menjadikannya sebagai sebahagian daripada koleksi yang turut digunakan untuk tujuan pameran.

“Nak siapkan pesawat tersebut mengambil masa kira-kira 12 jam. Namun, saya berpuas hati dengan hasilnya,” katanya yang merupakan anak kedua daripada lima beradik.

Bersama origami jet terbesar yang pernah dihasilkannya iaitu berukuran lebih satu meter.

Dia yang pernah mengimpikan untuk membuka sebuah galeri bagi hasil karyanya itu berkata, impian tersebut sudah pudar kerana faktor kesihatannya yang tidak begitu mengizinkan.

“Kalau dahulu memang ada pasang impian hendak buka galeri origami kapal terbang ini, namun semakin hari usia sudah meningkat dan kesihatan juga ada kalanya tidak mengizinkan sekaligus membuatkan saya melupakan hasrat tersebut.

“Namun, tidak mengapa kerana di rumah ini juga saya jadikan sebagai studio mini bagi menyimpan ribuan hasil origami yang diusahakan sejak tahun 1999.

“Tambahan pula, anak-anak dan cucu semua memang suka lihat koleksi jet pejuang setiap kali berkunjung ke sini,” katanya sambil menambah isterinya yang berusia 83 tahun tinggal bersama anak perempuan keduanya yang duduk berdekatan kerana perlukan penjagaan dan perhatian disebabkan faktor usia yang sudah lanjut.

Choo Teck yang juga merupakan penasihat Akademi Origami Malaysia sejak tahun 2004 sehingga kini berkata, dia merasakan seni kreatif origami perlu diketengahkan dengan lebih meluas dalam kalangan masyarakat kerana ia dilihat mampu mempromosikan Malaysia yang kaya dengan ciri kebudayaan, warisan dan kesenian di mata dunia.

“Penyertaan dalam kalangan orang muda amatlah digalakkan kerana mereka bukan sahaja mempunyai banyak idea yang lebih menarik dan segar untuk diterjemahkan kepada seni origami, malah secara tidak langsung mereka dapat menyumbang sesuatu dalam memelihara seni warisan dan kebudayaan negara ini,” katanya lagi.

Choo Teck berkata, melalui Akademi Origami Malaysia, ahli mahupun peserta akan didedahkan dengan pelbagai maklumat, teknik dan kemahiran berkaitan seni origami rekreasi dan teknikal melalui penganjuran bengkel mahupun seminar yang diadakan di sekitar negara.

Choo Teck menambah, aktiviti menghasilkan origami dilihat mampu menajamkan fikiran, selain melatih minda berfikir dengan lebih kritis.

“Jika kita praktikkan amalan ini selalu, secara tidak langsung ia dapat melatih minda untuk berfikir dengan lebih baik, seperti melakukan senaman. Jika kita sering bersenam sudah tentu badan lebih sihat dan otak lebih cerdas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN