fbpx

Rampasan dadah lebih RM1.7 juta dilupus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Proses pelupusan rampasan dadah dianggarkan bernilai lebih RM1.7 juta di Taman Pengurusan Sisa Bersepadu Kuching (KIWMP), Jalan Sungai Tapang semalam.

KUCHING – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak melupuskan rampasan dadah dianggarkan bernilai lebih RM1.7 juta semalam.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata kesemua dadah itu boleh menampung bekalan untuk kegunaan kira-kira seramai 200,778 orang pengguna.

“Dadah-dadah yang dilupuskan pada kali ini termasuk 32,358.68 gram syabu, 8,226.17 gram pil ekstasi, 4,118.37 gram ganja, 924.44 gram serbuk ekstasi, 117.55 gram pil Erimin 5, 63.97 gram ketamin, 6,453 biji pil nospan, 55 liter air ketum, sebatang pokok ganja dan 2,374 botol urin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya pelupusan itu dilakukan di Taman Pengurusan Sisa Bersepadu Kuching (KIWMP), Jalan Sungai Tapang di sini.

Menjelas lanjut, kesemua rampasan dadah itu melibatkan 3,416 kes dari tahun 2012 hingga 2022 daripada 19 buah daerah dalam kontinjen Sarawak yang telah selesai semua peringkat siasatan dan perbicaraan.

Mancha berkata pergerakan barang kes itu turut dikawal rapi oleh pegawai-pegawai polis dari daerah yang terlibat hingga ia dikumpulkan, diperiksa dan diserahkan kepada pihak KIWMP di tapak pelupusan berkenaan.

Katanya proses pelupusan itu turut disaksikan oleh Ketua JSJN IPK Sarawak Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah.

“Pelupusan dilakukan melalui kaedah pemusnahan selamat menggunakan teknologi terkini yang diperakui oleh Jabatan Alam Sekitar Malaysia,” katanya.

Sementara, Mancha berkata bagi tempoh 1 Januari hingga 6 Ogos tahun ini, JSJN Sarawak merekodkan tangkapan seramai 6,807 orang atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952, termasuk 109 orang pengedar dengan nilai rampasan berjumlah RM128.7 juta.

Justeru, beliau menyarankan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan mereka untuk menyalurkan ke hotline JSJN di talian 012-2087222. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI