fbpx

PRN: Henti konvoi, kempen selepas 12 tengah malam ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cheng San (kiri) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis SPT, hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Polis memberi amaran kepada semua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) di sini, supaya menamatkan sebarang bentuk dan aktiviti kempen termasuk konvoi selepas jam 12 tengah malam ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi arahan ditetapkan.

Menurutnya, arahan itu turut meliputi mana-individu atau secara berkumpulan yang terlibat dalam aktiviti berceramah, kempen ataupun berkonvoi kenderaan dengan bendera parti bertanding.

“Jangan adakan konvoi mulai tengah malam ini sehinggalah keputusan pengiraan undi diumumkan malam esok. Kami akan ambil tindakan sekiranya ada konvoi terutamanya geng motosikal yang membawa bendera besar, tidak mematuhi lampu isyarat sekali gus membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Selepas tengah malam ini, jika ada yang ingkar, kita akan ambil tindakan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 yang akan dikuatkuasakan semula,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di Bukit Mertajam di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau juga yakin para penyokong akan menghormati nasihat dan mematuhi segala peraturan yang dikuatkuasakan polis sepanjang proses mengundi bermula lapan pagi esok sehingga keputusan PRN diumumkan pada malam nanti.

“Polis tak kisah kalau dia konvoi ikut peraturan, tetapi kalau dia melanggar peraturan, kita akan ambil tindakan. Sehari dua lalu, saya sendiri lihat ada konvoi motosikal beramai-ramai membawa bendera gergasi parti bertanding, siap pasang belakang badan mereka dan membawa kenderaan sambil membunyikan hon.

“Tindakan ini bukan sahaja membahayakan mereka sahaja, malah mengganggu pengguna jalan raya lain,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI