fbpx

Kerajaan Korea gunakan kuasa K-pop selamatkan jambori bermasalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BANTUAN NewJeans diperlukan untuk menggembirakan semula puluhan ribu pengakap yang menyertai jambori sedunia di Korea Selatan. – AFP

SEOUL, Korea Selatan – Berpuluh-puluh ribu pengakap berhimpun untuk menonton festival K-pop besar-besaran di Seoul hari ini ketika Korea Selatan cuba menyelamatkan jambori bermasalah dengan menggunakan ‘kuasa budaya Korea’.

Jambori Pengakap Sedunia ke-250 itu menghimpunkan 43,000 pengakap di wilayah Jeolla Utara.

Bagaimanapun, gelombang haba di luar jangkaan menyebabkan ramai peserta jatuh sakit dengan  kontingen Amerika Syarikat dan Britain pulang awal di tengah-tengah laporan keadaan kem yang daif, manakala ribut tropika memaksa pemindahan sepenuhnya pada minggu ini.

Kumpulan-kumpulan pengakap berkenaan ditempatkan di serata Korea Selatan untuk siri jelajah kebudayaan yang ditaja oleh kerajaan. 

Namun, mereka berkumpul semula untuk acara penutup gilang-gemilang iaitu konsert K-pop Superlive yang menampilkan barisan artis utama termasuk kumpulan NewJeans dan The Boyz.

Puluhan ribu pengakap memakai seragam warna warni dengan sebilangan mereka mewarnakan muka dan mengibarkan bendera memenuhi Stadium Piala Dunia Seoul untuk acara penutup hari ini menjelang konsert tersebut.

“Hari-hari terakhir ini agak sukar,” kata Setiausaha Agung Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia, Ahmad Alhendawi.

Perdana Menteri Korea Selatan, Han Duck-soo memberitahu semua pengakap terbabit bahawa beliau berharap ‘pengalaman kebudayaan yang ditimba di pelbagai kawasan di Korea dan konsert K-pop yang bakal menyusul akan kekal sebagai pengalaman indah untuk anda’.

Ahli politik tempatan, Sung Il-jong terdahulu menerima kecaman daripada  peminat K-pop. 

Beliau  menyatakan bahawa bintang mega, BTS  yang kini bercuti selepas dua anggotanya menjalani kerahan tenaga mandatori, perlu bergabung semula dan beraksi pada konsert tersebut.

Kolumnis K-pop, Isak Choi menyatakan di laman Twitter (kini X), pelan itu mengemukakan idea bahawa K-pop milik kerajaan.

Agensi berita Yonhap melaporkan, sekitar 1,000 kakitangan awam seperti Bank Pembangunan Korea dan Perbadanan Kuasa Elektrik Korea telah dikerah untuk membantu konsert itu.

“Walaupun perkataan yang digunakan ialah ‘permintaan untuk kerjasama’ permintaan ini  seperti  kerahan tenaga paksa semasa waktu perang,” kata Kesatuan Sekerja Industri Kewangan Korea dalam maklum balasnya. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI