fbpx

Tiga kedai musnah dirempuh lori sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN tiga buah kedai yang musnah selepas dirempuh sebuah lori membawa muatan sawit di Pekan Nyalas, Jasin, Melaka.

JASIN – Tiga buah premis perniagaan di Pekan Nyalas dekat sini musnah selepas dirempuh sebuah lori membawa muatan sawit, awal pagi tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.50 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan.

Seorang peniaga, Hasli Limat, 58, berkata, dia kini hilang punca pendapatan apabila semua barangan di dalam kedai fotokopi dan gambar yang diusahakannya sejak 15 tahun lalu rosak dalam insiden tersebut.

Ujarnya, dianggarkan kerugian dialaminya adalah sekitar RM10,000 sehingga RM15,000.

“Isteri saya yang nampak kejadian itu berlaku ketika dia ingin menghantar anak kami di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nyalas dan memaklumkan kepada saya yang berada di rumah.

“Saya bergegas ke lokasi dan setiba di sana saya lihat kedai telah musnah, saya anggarkan kerugian dialami boleh mencecah RM15,000,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, terdapat dua buah mesin fotokopi, mesin cetak, komputer dan juga kemudahan mengambil gambar pasport di dalam kedai berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, kemalangan berlaku selepas lori jenis Volvo terbabit yang dalam perjalanan dari arah Merlimau ke Gemas tiba-tiba telah hilang kawalan dan terbabas.

“Kita percaya kenderaan berat dipandu lelaki berusia 35 tahun itu mengalami kegagalan sistem brek sebelum terbabas di kiri jalan lalu merempuh tiga buah kedai serta sebuah motosikal yang di parkir di hadapan premis terlibat.

“Setakat ini kes diklasifikasikan Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI