Setiap kali tiba musim pilihan raya, antara perkara yang paling ditunggu-tunggu pengundi adalah calon.
Siapa individu yang akan mereka pangkah untuk diangkat sebagai pemimpin atau Yang Berhormat (YB) di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan masing-masing.
Memang ada pengundi yang memilih parti berdasarkan simbol, warna bendera serta tawaran menarik menerusi manifesto, namun calon juga memainkan peranan dalam menentukan nasib parti-parti di DUN dan Parlimen.
Jika diletakkan calon yang mempunyai latar belakang pendidikan bagus, rekod baik, ada integriti dan pandai ambil hati pengundi, ia merupakan satu bonus terutama dalam ‘mengumpan’ pengundi atas pagar.
Kelompok pengundi atas pagar ini lebih selesa menggunakan pendekatan ‘tunggu dan lihat’ dengan membuat pilihan pada saat-saat akhir menjelang hari pengundian. Kumpulan tersebut walaupun bilangannya tidak besar, tetapi masih boleh mempengaruhi undi di DUN dan Parlimen.
Namun, setiap kali menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN), malah sampai sekarang sudah masuk tahun 2023, masalah sama masih berlaku iaitu berkaitan profil calon.
Saya rasa semua pihak sedar latar belakang calon menjadi perhatian, lebih-lebih lagi ketika zaman troll sekarang, tetapi masih ada parti yang ‘terlepas pandang’.
Baru-baru ini, tular tangkap layar mengenai empat calon yang mempunyai latar belakang pendidikan sama.
Ada netizen membangkitkan persoalan adakah mereka rakan sekelas. Parti terbabit sudah memohon maaf dan menjelaskan ia berlaku kerana pereka grafik menggunakan template sama, namun tidak menukar butiran calon-calon yang bertanding.
Sepatutnya hal berkaitan profil calon ini tidak lagi berlaku walaupun tanpa sengaja. Namun, pada zaman tular sekarang, semua parti politik seharusnya kena ambil sikap berhati-hati.
Kelulusan, nama universiti, gelaran antara yang menjadi perhatian netizen. Kadang-kadang kesilapan kecil boleh bertukar menjadi isu besar apabila ia tular dalam media sosial.
Hari ini Selasa, berbaki empat hari lagi tempoh untuk calon-calon bertanding berkempen sebelum menjelangnya hari mengundi pada 12 Ogos ini.
Berkempenlah secara berhemah, jangan tabur fitnah dan memburukkan pihak lain.
Buat 9.7 juta pemilih berdaftar yang layak, jangan lupa keluar mengundi pada Sabtu ini. Undi anda penentu masa depan negara.














