fbpx

Bekerja 11 jam sehari, dapat cuma RM30

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemandu teksi tersadai menunggu penumpang di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus semalam.

KUALA NERUS – Nasib 57 pemandu teksi Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang sejak lebih tiga tahun lalu.

Walaupun operasi lapangan terbang itu sudah kembali rancak selepas peralihan pandemik Covid-19 pada April tahun lalu, namun pendapatan mereka tidak banyak meningkat.

Pemandu teksi, Khairul Arifin Mohammad berkata, secara purata dia dan rakan-rakannya hanya mendapat satu trip atau RM30 setiap hari.

“Tidak berbaloi pendapatan yang diterima kerana kami me­nunggu pelanggan sejak pukul 8 pagi hingga 7.30 malam setiap hari, namun hanya dapat membawa pulang RM30.

“Sebelum penularan Covid-19, secara purata kami memperoleh pendapatan kira-kira RM200 sehari,” katanya ketika ditemui ­Kos­mo! di LTSM semalam.

Khairul Arifin memberitahu, saban hari semakin ramai pemandu teksi LTSM sudah putus asa dan memilih pekerjaan lain demi kelangsungan hidup.

Jelasnya, sebahagian rakan-rakannya kini sudah bersara membawa teksi dan bertukar kerjaya menjadi nelayan, tukang rumah dan peniaga pasar.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Teksi Melayu LTSM, Rustam Mokhtar mendakwa, masalah kekurangan pelanggan itu berlaku disebabkan kewujudan pemandu e-hailing di kawasan tersebut.

Menurut beliau, berdasarkan peraturan yang ditetapkan, ha­nya teksi LTSM dibenarkan untuk mengambil penumpang di lapangan terbang berkenaan.

“Walau bagaimanapun ada pemandu e-hailing yang ‘curi-curi’ mengambil penumpang yang baru turun dari pesawat.

“Mereka hanya akan ‘hilang’ apabila tindakan penguatkuasaan diambil, selepas itu mereka akan berkerumum semula di LTSM,” katanya.

Sehubungan itu, Rustam berharap agensi penguatkuasaan terlibat supaya lebih bertegas dan serius mencari penyelesaian demi kelangsungan periuk nasi pemandu teksi di LTSM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI