fbpx
JURURAWAT berpengalaman lebih memilih untuk berkhidmat di Arab Saudi, Singapura berbanding di dalam negara. - GAMBAR HIASAN

Jururawat raih gaji 4 kali ganda bekerja di luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jururawat berpengalaman lebih cenderung menabur bakti di Arab Saudi, Singapura, Amerika Syarikat dan Jerman kerana dibayar empat kali ganda lebih tinggi selain tidak mempunyai bebanan kerja melampau seperti yang berlaku di Malaysia.

Dengan gaji yang boleh mencecah RM12,000 sebulan, mereka lebih rela meninggalkan keluarga untuk bekerja di sana dalam tempoh tertentu bagi menaikkan taraf hidup.

Seorang jururawat, Suwani Mohd. Yusof, 35, berkata, dia mula tawar hati untuk meneruskan kerja di hospital swasta di Malaysia kerana gaji tidak setimpal dan beban kerja yang tidak masuk akal.

Dia yang mempunyai pengalaman selama 10 tahun berkata, berhijrah ke Arab Saudi tahun lalu kerana memperoleh gaji empat kali ganda daripada pendapatan asalnya.

“Walaupun beban kerja lebih kurang sama tetapi jururawat diberi cuti sebulan untuk pulang ke Malaysia tanpa diganggu. Sebelum ini, saya kerja 10 tahun di sebuah hospital swasta tetapi gaji masih di takuk lama dan langsung tak berbaloi dengan beban kerja yang tiada rehat langsung.

“Ramai dah berhijrah. Di bahagian saya iaitu di unit penjagaan khas sudah ada 12 orang dan itu belum kira jabatan lain lagi,” katanya yang berada di Arab Saudi ketika dihubungi Kosmo!

SUWANI gembira bekerja di Arab Saudi kerana menerima gaji empat kali ganda berbanding ketika berkhidmat di Malaysia.

Menurut Suwani, jururawat Malaysia menjadi rebutan kerana pesakit di hospital Arab Saudi selesa dengan cara kerja yang bagus dan berbeza dengan negara lain.

Tambahnya, ramai bersedia pulang ke Malaysia sekiranya kerajaan mengkaji semula tanda aras gaji jururawat. Dia memberitahu gaji jururawat yang keluar kolej atau universiti sekitar RM1,800 hingga RM1,900.

“Saya cadang bekerja di sini sehingga berusia 40 tahun dan ramai rakan mahu sambung kontrak sehingga 15 tahun,” katanya.

Bagi V. Mageswari, 32, dia berhijrah ke Singapura kerana gajinya tidak dapat menampung keluarga dalam berdepan de­ngan ekonomi yang semakin mencabar.

“Enam tahun kerja hospital kerajaan, saya hampir putus asa kerana beban kerja yang terlampau banyak dan masalah senio­riti. Lepas lihat iklan di internet, saya pergi ke Singapura pada 2020 kerana dapat gaji tiga kali ganda dan bonus,” katanya.

MAGESWARI (kanan) memilih bekerja sebagai jururawat di Singapura kerana lebih sistematik dan menawarkan gaji lumayan.

Ujar Mageswari, kerja di Si­ngapura sempurna dan bersistematik selain menggalakkan jururawat menyambung pengajian.

“Budaya kerja juga berbeza kerana waktu tugas tidak banyak berbanding Malaysia. Saya tidak pernah diminta buat syif berganda dan akan disuruh pulang jika sudah habis kerja sembilan jam,” katanya.

Seorang lagi jururawat yang berhijrah ke Arab Saudi sejak empat tahun lepas, Ahmad Najhan Hassim, 32, berkata, dia sentiasa dihargai walaupun dianggap sebagai pekerja asing.

Katanya, dia akan tinggal selama mana yang mungkin selagi kepakarannya diperlukan.

“Saya dapat empat kali ganda gaji. Selain itu, setiap bulan saya boleh tunai umrah dan haji pada 2021. Peralatan di sini canggih dan kerja berlandaskan polisi iaitu kami hanya buat kerja apa yang terkandung dalam skop sahaja,” katanya.

Bagi Muhammad Amran Azizan, 33, pula, dia berkhidmat di bilik bedah di salah sebuah hospital Arab Saudi sejak 2016.

“Sini ada peluang naik pangkat dan melanjutkan pengajian. Saya sayang Malaysia tetapi perlu ubah dulu skop kerja dan gaji untuk kami pulang menabur bakti,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN