fbpx

40,000 buruh asing tinggal berpusat menjelang 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HEE SEM (tiga dari kiri) menyampaikan anugerah Best Practises Award kepada seorang majikan pada Program Pendidikan Perburuhan Bil 3/2023 di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka.

MELAKA – Melaka menyasarkan untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 40 buah bangunan Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) yang akan menempatkan lebih 40,000 pekerja warga asing di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, setakat ini sebanyak 15 buah bangunan telahpun dibangunkan di beberapa lokasi berhampiran kawasan perindustrian.

Ujarnya, bagaimanapun bangunan itu hanya menampung 22,765 pekerja berbanding jumlah keseluruhan buruh yang kini mencecah 63,500 orang di negeri ini.

“Kita sedang berusaha mendapatkan kerjasama daripada syarikat pemaju untuk membangunkan lebih banyak lagi CLQ di negeri ini dan kita sasarkan sekurang-kurangnya sebanyak 40 bangunan CLQ siap dibina menjelang 2025.

“Sasaran ini adalah keperluan yang selari dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di mana mulai 2025 semua pekerja asing ini hendaklah ditempatkan di CLQ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutup Program Pendidikan Perburuhan Bil 3/2023: Executive Talk Melestari Perumahan Dan Penginapan Pekerja Negeri Melaka 2023 di sebuah hotel di Ayer Keroh, hari ini.

Turut hadir adalah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia, Mohd. Asri Abdul Wahab.

Tambahnya, berdasarkan perancangan tersebut pihaknya yakin Melaka bakal menjadi negeri contoh dalam pengurusan penempatan buruh dengan penginapan lebih kondusif, terancang dan selamat.

Dalam pada itu Mohd. Asri memberitahu, sehingga kini JTK telah mengeluarkan sebanyak 30,093 Sijil Perakuan telah diberikan kepada majikan yang menyediakan penginapan mematuhi peruntukan dan standard minimum di bawah Akta 446.

“JTK juga telah menjalankan sebanyak 391 operasi penguatkuasaan dan sejak 2020 sehingga hari ini, sebanyak 1,621 kertas siasatan telah dibuka membabitkan pelbagai kesalahan khususnya di bawah Seksyen 24D Akta 446.

“Jumlah denda dikenakan dalam pendakwaan telah mencecah RM1.395 juta dan nilai kompaun RM8.078 juta,” jelasnya.

Ujarnya, pihaknya berharap agar penggiat industri terutama syarikat-syarikat swasta akan memilih dan menggunakan sepenuhnya pusat penginapan pekerja bagi memastikan standard kehidupan pekerja dapat ditingkatkan dan terjamin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI