fbpx

PRN: Selamatkan negeri dari kerosakan – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar hadir di ceramah Jelajah Perpaduan Madani Pulau Pinang di Kampung Melayu, malam tadi. Gambar oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

GEORGE TOWN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada 12 Ogos ini di enam negeri adalah medan untuk rakyat menyelamatkan negeri-negeri tersebut daripada kerosakan.

Anwar berkata, rakyat tidak boleh memberi isyarat untuk membenarkan kerosakan itu berlaku dengan memberi undi kepada gabungan selain daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

”PRN ini selamatkan negeri kita jangan bagi signal, Melayu, Cina, India, jangan abaikan hak kamu (mengundi).

”Kamu putuskan macam mana nak jadi negara, kamu kalau main-main dengan undi, mereka menang rosak negara, apa dia buat di negeri dia,” katanya ketika berucap dalam program Jelajah Perpaduan Madani di Kampung Melayu di sini hari ini.

Turut hadir ialah, Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Hadir sama, Naib Presiden AMANAH, Datuk Dr Mujahid Yusof, Ahli Jawatankuasa AMANAH merangkap Ahli Parlimen Kuala Langat, Mohd. Sany Hamzan dan Ahli Jawatankuasa DAP negeri yang juga Ahli Parlimen Gelugor, Ramkarpal Singh.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, rakyat tidak boleh tertipu lagi dengan janji-janji yang dibuat namun tidak dapat dilaksanakan.

”Tengok masalah air di Kelantan, kes kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah, Jana Wibawa ini semua berlaku dan bila mereka disiasat mereka kata aku zalim,” katanya.

Anwar menambah, beliau akan menggunakan kuasa yang ada sebaik mungkin untuk membantu rakyat menyelesaikan masalah mereka.

“Saya tidak janji syurga, selalu depa (mereka) janji, dan saya tak kata neraka kalau tidak sokong, tapi saya janji akan buat sebaiknya. Saya akan gunakan kuasa sebaik mungkin, saya bukan muda lagi tetapi saya nampak muda dan tenaga juga muda.

”Jadi kita mesti pastikan Kerajaan Perpaduan kekal hingga pilihan raya akan datang, saya mahu Pulau Pinang, Kedah, dan semua negeri yang ada PRN bagi sokongan kepada calon kita,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, dengan sambutan hebat yang diterima daripada pengundi-pengundi termasuk di kawasan Flat Kampung Melayu, beliau yakin Pulau Pinang akan menjadi negeri termaju yang berani membawa perubahan.

”Kita kena pastikan kita menang dengan lebih bergaya dan dengan majoriti lebih baik agar kita mempunyai kerajaan yang lebih stabil untuk anak muda,” katanya. KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI