LAZIMNYA, ‘influencer’ atau pempengaruh media sosial berkembang menjadi pelakon atau penyanyi. Ironinya dalam kes Adeline Tsen, jelitawan seksi itu bertukar angin daripada pelakon menjadi pensohor media sosial atau lebih dikenali sebagai ‘influencer’.
Sedekad bergelar anak seni dan telah membintangi puluhan filem dan drama, pelakon, penyanyi dan pengacara Adeline Tsen mengakui kini selektif dalam soal karya lakonan.
Disebabkan pendekatan sedemikian, jarang wajahnya muncul dalam kaca televisyen mahupun layar perak. Malah, ada yang menyangka wanita berusia 37 tahun itu sudah tidak aktif dalam lapangan seni.
Menyangkal dakwaan, Adeline bertegas, tahun ini dia bakal muncul dengan tiga buah filem iaitu Speed Boh, Hujan Merah dan sebuah lagi naskhah yang belum mempunyai judul.
Saya masih aktif dalam bidang seni, tidak bersara dan tidak hilang ke mana-mana. Cuma selepas 10 tahun menjadi pelakon, sekarang saya lebih memilih.
“Memang saya akui, saya sudah jarang berlakon drama kerana lebih memberi tumpuan kepada filem. Saya bermula dengan filem, jadi sekarang ini fokus saya adalah filem,” kata wanita kelahiran Kota Belud, Sabah itu lagi.

Sungguhpun begitu, Adeline tidaklah menolak untuk berlakon drama secara total, katanya andai terdapat watak yang begitu menarik dan sukar ditolak dia tetap akan kembali di set penggambaran drama.
“Buat masa ini saya memang tidak berlakon drama, tetapi kalau ada tawaram menarik seperti babak pertarungan atau drama aksi, memang saya akan buat.
“Saya mahu sesuatu yang mencabar jika muncul dalam drama. Cuma, kalau drama yang episodnya berpuluh-puluh sehingga memakan masa penggambaran berbulan-bulan saya perlu pertimbangan.
“Bukan mahu menolak rezeki, tetapi buat masa ini saya juga mempunyai komitmen kerja lain sebagai pempengaruh media sosial dan menguruskan syarikat sendiri,” tuturnya yang ditemui pada majlis pelancaran koleksi ASICS Autumn Winter 2023 di Bangkok, Thailand baru-baru ini.
Adeline yang baru muncul dengan filem Personal Shopper siaran Astro First sejak awal Julai Julai lalu berkongsi pengalaman menjalani penggambaran ketiga-tiga filem baharunya itu.
Kata pemilik nama sebenar Adeline Anthony Primus Tsen itu, ketiga-tiga filem berkenaan memberi rasa berbeza dan memiliki cabaran tersendiri.
Sebagai contoh filem Speed Boh tentang perlumbaan kereta di Kelantan dan buat pertama kalinya Adeline membawakan watak lasak.
“Penggambaran Speed Boh dilakukan ketika pandemik dan kami semua berkampung di Kelantan.
“Ketika itu, baru saya tahu di Kelantan ada banyak tempat orang bikin kereta lumba. Saya cukup seronok selain dapat mempelajari dialek Kelantan,” katanya.
Filem keduanya berjudul Hujan Merah. Menurut Adeline wataknya sebagai jururawat kembar dalam filem berkenaan sangat mencabar.
Adeline perlu membawakan dua watak serentak sepanjang penggambaran filem berlangsung.
“Saya rasa ini antara watak yang sukar sebab saya perlu lakonkan dua watak kembar yang emosinya berbeza-beza. Seorang lebih kepada emosional dan seorang lagi lebih mistik.
“Sebuah lagi filem masih belum mempunyai judul tetapi dalam filem itu saya memegang watak sebagai seorang peguam,” ceritanya.

Pempengaruh
Berbicara lanjut tentang kariernya sebagai pempengaruh media sosial, Adeline yang memiliki 903,000 pengikut Instagram mengakui tidak pernah terfikir untuk memberi komitmen secara serius dalam bidang pencipta kandungan.
Masih segar dalam ingatannya sekitar empat tahun lalu, ketika peluang terjun ke dunia konten digital dan pengurusan bakat bergolek datang kepadanya.
Meskipun tidak mempunyai pengalaman, Adeline menyahut cabaran berkenaan dengan membuka sebuah syarikat pengurusan bakat.
“Empat tahun lalu saya mendapat tugas mempromosikan sebuah syarikat hartanah terkenal, selepas itu mereka meminta saya membekalkan bakat-bakat baharu.
“Sejak itu, saya beranikan diri membuka syarikat pengurusan bakat dan sekarang pelanggan-pelanggan saya terdiri daripada syarikat serta jenama-jenama besar.
“Jika saya tidak ambil risiko empat tahun dahulu, mungkin saya tidak menjadi Adeline Tsen, seorang pempengaruh media sosial dan menguruskan bakat yang bebas bekerja dari mana-mana lokasi seluruh dunia seperti sekarang,” kongsinya.
Tambah Adeline, dia memilih menjadi pempengaruh media sosial dan membikin ‘travel vlog’ kerana minatnya yang suka melancong dan melihat budaya negara lain.
Hal ini kerana, kebanyakan trip pelancongan yang dihidangkan dalam akaun media sosialnya adalah atas urusan kerja mahupun kerjasama dengan pelbagai pihak.
“Saya suka melancong, jadi inilah kerja yang sangat sesuai dengan diri saya. Sebenarnya kebanyakan trip percutian saya adalah kerana urusan kerja selain terikat dengan sebuah syarikat penerbangan dan portal percutian.

“Kerja saya bukan setakat menyediakan kandungan untuk dimuat naik dalam media sosial sendiri tetapi juga perlu melakukan penggambaran serta menyediakan kandungan untuk kegunaan pelanggan seperti pihak hotel.
“Jadi, kebanyakan masa kerja saya akan berada di tempat-tempat percutian, sebab itulah sekarang saya perlu memilih karya tertentu sahaja untuk berlakon kerana jadual kerja saya sangat padat,” kata Adeline.
Dalam pada itu, Adeline sempat menitipkan nasihat buat anak-anak muda yang kini dilihat berlumba-lumba mahu menjadi pempengaruh media sosial sehingga tidak berminat menyambung pelajaran.
“Bila jadi pempengaruh media sosial memang boleh dapat duit dengan mudah. Tetapi tidak mudah untuk mendapatkan kepercayaan jenama-jenama besar dan popular.
“Pelajaran itu tetap utama kerana latar belakang pendidikan akan jadi batu loncatan dan membezakan kualiti anda dengan pempengaruh media sosial yang lain,” jelas Adeline yang memiliki ijazah dalam jurusan Perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UITM) Shah Alam, Selangor.















