fbpx

PLUS sedia 214 tempat teduhan motosikal di lebuh raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua jenis tempat teduhan untuk penunggang motosikal iaitu 'stand alone' dan di bawah jambatan disediakan oleh PLUS.

PETALING JAYA – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyediakan 214 kemudahan tempat berteduh untuk penunggang motosikal di lebuh raya kendalian syarikat konsesi tersebut untuk keselamatan dan keselesaan pengguna ketika cuaca buruk dan hujan.

Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd. Yusuf Abdul Aziz berkata, kemudahan tempat berteduh itu terdiri daripada dua jenis iaitu 28 teduhan motosikal jenis ‘stand alone’, manakala 186 teduhan motosikal di bawah jambatan.

Menurutnya, dalam usaha memastikan keselamatan semua pengguna lebuh raya termasuk penunggang motosikal, PLUS sentiasa memandang serius keperluan bagi golongan ini terutama ketika cuaca buruk atau hujan.

“Penunggang motosikal merupakan kumpulan yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai risiko ketika berada di lebuh raya.

“Sehubungan itu, PLUS secara berterusan menambah baik kemudahan yang disediakan untuk golongan sasar di lebuh raya kami bagi menjadikan perjalanan mereka lebih selamat, lancar dan selesa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara lokasi tempat berteduh disediakan PLUS kepada penunggang motosikal yang menggunakan lebuh raya kendaliannya.

Beliau berkata, PLUS juga bersedia untuk menambah 22 lagi tempat berteduh motosikal iaitu enam jenis ‘stand alone’ dan 16 di bawah jambatan yang dijangka siap sepenuhnya secara berperingkat pada tahun ini sehingga suku kedua 2024.

Katanya, selain tempat berteduh tersebut, PLUS turut menasihatkan penunggang motosikal untuk
berhenti berteduh di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah atau stesen minyak berdekatan di sepanjang lebuh raya sekiranya berhadapan cuaca buruk atau hujan lebat.

“Penunggang motosikal dinasihatkan sentiasa berada di belakang rel penghadang (guardrail) di kawasan teduhan motosikal semasa berhenti untuk keselamatan mereka.

“Mereka juga dinasihatkan untuk tidak berhenti atau berkumpul di lorong kecemasan kecuali jika berlaku kecemasan, untuk mengelakkan berlakunya kemalangan atau hal-hal yang tidak dijangka,” ujarnya.

Bagi lokasi di bawah jambatan yang tidak disediakan kawasan teduhan motosikal, pihak PLUS
telah menyediakan papan tanda larangan ‘Dilarang berhenti kecuali kecemasan’ untuk mengelakkan penunggang motosikal berhenti di kawasan tersebut atas faktor keselamatan dan mengelakkan risiko kemalangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI