fbpx

Melaka rancang taman safari terbuka terbesar di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAIS YASIN menunjukkan pelan Taman Safari selepas merasmikan Hari Harimau Sedunia 2023 di Amphitheater Zoo Melaka, Ayer Keroh, Melaka. Foto oleh AMRAN MULUP/KOSMO!

MELAKA – Sebuah taman safari berkonsep terbuka terbesar di Malaysia di kawasan seluas 20.2 hektar dirancang dibina di Melaka tidak lama lagi.

Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, dua lokasi telah dikenal pasti bagi pembinaan taman berkenaan.

Menurutnya, lokasi tersebut adalah di Taman Botanikal dan sebahagian kawasan seluas 12 hektar dalam Zoo Melaka bakal mengikut konsep Taman Safari Indonesia dan Taman Safari Thailand serta beberapa buah negara lain.

Katanya, pihaknya telah menerima beberapa kertas cadangan daripada pihak swasta yang berhasrat bekerjasama membangunkannya.

“Satu kajian menyeluruh perlu diadakan antara Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Zoo Melaka dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Kita tidak mahu taman yang akan dibangunkan ini tidak boleh bertahan lama dan ditutup. Kita mesti buat sebuah taman yang kekal lama seperti Zoo Melaka.

“Justeru, kertas cadangan ini akan dibentangkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh untuk mendapat persetujuan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Harimau Sedunia 2023 di Amphitheater Zoo Melaka, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Rais berkata, konsep taman safari terbuka bermakna pelbagai spesis haiwan dilepaskan untuk pengunjung melihat dari dekat namun soal keselamatan pengunjung akan dititikberatkan agar kejadian tidak diingini berlaku.

“Kalau kita lihat di Taman Safari Thailand pengunjung boleh berinteraksi dengan gajah dalam sungai dan konsep ini diharap berjaya dibuat di Melaka nanti,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI