fbpx

20 nelayan warga asing bekerja secara haram ditahan di Pulau Pangkor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bot nelayan tempatan di mana terdapat 20 warga asing bekerja secara haram sebagai nelayan ditahan di utara Pulau Pangkor, Perak, semalam. - Foto ihsan APMM Perak

LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan 20 warga asing yang bekerja secara haram dalam sebuah bot nelayan tempatan di perairan utara Pulau Pangkor, di sini semalam.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Mohd. Hambali Ya’akup berkata, bot tersebut dikesan sedang melakukan aktiviti perikanan pada kedudukan 2.1 batu nautika utara Pulau Pangkor sekitar pukul 11 pagi.

“Bot pasukan operasi yang melakukan rondaan rutin mengesan sebuah bot nelayan tempatan mencurigakan dan merapatinya untuk pemeriksaan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati, bot tersebut dikendalikan oleh seorang tekong bersama 14 kru warga Myanmar, empat kru warga Thailand, dan seorang kru warga Kemboja berumur dalam lingkungan 17 hingga 53 tahun.

Beliau memberitahu, pemeriksaan lanjut mendapati tekong gagal mengemukakan dokumen kebenaran penggunaan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Justeru, jelasnya, kes itu disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran yang sah serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

Tegasnya, kesemua nelayan ditahan, bot beserta peralatan menangkap ikan dirampas serta dibawa ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Acheh, Sitiawan, sebelum diserah kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Beliau menegaskan agar komuniti maritim sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan diambil ke atas mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI