fbpx

2 rakan sekerja maut, motosikal bertembung SUV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan SUV dan motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa setelah bertembung di persimpangan lampu isyarat USJ, Persiaran Klang, Subang Jaya, awal pagi semalam.

SUBANG JAYA – Dua rakan sekerja warga Bangladesh maut apabila motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di persimpangan lampu isyarat USJ, Persiaran Klang, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan tersebut kira-kira pukul 2.05 pagi.

Menurutnya, ketika kejadian, penunggang berusia 29 tahun dan rakannya yang membonceng berusia 26 tahun dalam perjalanan dari arah Persiaran Kewajipan ke arah Shah Alam.

“Siasatan awal mendapati, motosikal jenis LC135 yang dinaiki kedua-dua lelaki itu bergerak terus sebelum bertembung dengan kereta jenis SUV Proton X50 di tengah persimpangan lampu isyarat.

“Kereta tersebut sedang membelok ke kanan dari arah Tol USJ ke arah Persiaran Kewajipan. Akibat kemalangan itu, penunggang dan pembonceng maut di lokasi kejadian.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Wan Azlan menyeru saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil bagi membantu siasatan.

“Hubungi Pegawai Penyiasat Bahagian dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Inspektor Mohamad Hamdan Jeramatin di talian 019-4642222 jika anda mempunyai sebarang maklumat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI