fbpx

Pendatang Nigeria ‘menumpang’ atas kemudi kapal 14 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis Persekutuan Brazil menemui empat lelaki itu di atas kemudi sebuah kapal kargo yang berlabuh di bandar Vitoria. - Chronicle

BRASILIA, Brazil – Polis Persekutuan Brazil menyelamatkan empat pendatang asing warga Nigeria yang menyeberangi Lautan Atlantik dengan duduk di atas kemudi sebuah kapal kargo selama 14 hari, lapor akhbar The Guardian kelmarin.

Pada hari ke-10, kumpulan lelaki itu dilaporkan bertahan untuk terus hidup dengan hanya minum air laut yang terpercik ke muka mereka selepas kehabisan makanan dan minuman.

Perjalanan mencabar merentasi lautan sejauh 5,600 kilometer itu menggambarkan risiko yang sanggup dihadapi berbilang pendatang asing untuk mengambil peluang menjalani kehidupan lebih baik.

“Ia adalah pengalaman mengerikan bagi saya. Menaiki kapal itu sangat tidak mudah. Saya menggigil dan sangat takut tetapi akhirnya saya sampai di sini,” kata Thankgod Opemipo Matthew Yeye, yang merupakan salah seorang daripada mereka.

Menurut Yeye, sebaik sahaja kapal itu bergerak, mereka berusaha sedaya upaya untuk tidak dikesan oleh kru kapal kerana bimbang dihumban ke dalam laut.

Bagi mengelakkan diri daripada terjatuh ke dalam air, mereka memasang pukat di sekeliling kemudi dan mengikat diri dengan tali.

Tambah seorang lagi daripada mereka, Roman Ebimene Friday, apabila dia melihat ke laut, terdapat banyak ikan besar seperti paus serta jerung, dan disebabkan ruang sempit serta bunyi enjin, mereka jarang tidur. 

Harapan empat imigran itu yang menyangkakan pelayaran tersebut akan membawa mereka ke Eropah akhirnya musnah apabila kapal berkenaan berlabuh di pelabuhan Vitoria, Brazil.

Dua daripada lelaki itu dihantar pulang ke Nigeria atas permintaan mereka, manakala Yeye dan Friday telah memohon suaka di Brazil. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI