KEMPEN bagi pilihan raya melibatkan enam negeri bermula pada Sabtu lalu dengan 570 calon bersaing bagi merebut 245 kerusi.
Pastinya negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah yang diperintah parti Pas akan berusaha mempertahankan penguasaan parti tersebut, begitu juga bagi negeri Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor yang dikuasai parti-parti di bawah Pakatan Harapan (PH).
Agak unik senario pilihan raya kali ini kerana negara baharu sahaja selesai menjalani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu dan kini rakyat di enam negeri bakal mengundi sekali lagi.
Ramai yang menjangka jarak masa ‘pesta pilihan raya’ yang dekat antara PRU15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) menyebabkan ada sebilangan yang enggan turun mengundi, khususnya bagi mereka yang terpaksa pulang jauh ke kampung melibatkan kos perjalanan, tol dan makan minum.
Meskipun begitu, kempen bagi memenangkan calon dan parti kelihatannya sudah mula panas. Kain rentang, gegantung dan poster sudah mula dipasang sedikit demi sedikit. Di kampung dahulu, semasa zaman kanak-kanak dan remaja, inilah pesta yang ditunggu-tunggu.
Kemeriahan sangat terasa dan ketika itu tidak timbul pun isu upah mengupah dan boikot memboikot. Semua dilakukan atas semangat kepartian dan bekerja dengan penuh ikhlas. Hari ini, kerja-kerja memasang poster dan kain rentang perlukan wang. Ada wang kerja jalan. Tak ada wang, calon boleh jalan.
Hari ini, wang perbelanjaan pilihan raya pun tidak lagi ditumpukan kepada gerak kerja atau operasi bilik gerakan dan kempen dari rumah ke rumah, tetapi sejumlah wang dibelanjakan untuk mengupah ‘tentera siber’ menghasilkan konten kempen di media-media sosial.
Malangnya kempen-kempen jijik di media sosial itu lebih kepada memburukkan parti lawan dan calon lawan bukannya menjelaskan misi, visi dan apa yang mereka mahu sediakan untuk rakyat.
Maka jadilah gambar-gambar dimanipulasi, rakaman video disunting, video-video lama diulang tayang semula dan sebagainya. Bagi penulis strategi seperti ini dihasilkan oleh orang yang bijak, tetapi mereka ini cuba memperbodohkan orang lain khususnya pengundi. Lebih memualkan ada yang memanipulasikan agama dan sensitiviti bangsa untuk menakutkan pengundi.
Kepada pengundi yang tidak mahu berfikir panjang, mereka akan telan dan percaya 100 peratus apa yang diterima. Jika begini hakikatnya, maka berjayalah misi memperbodohkan pengundi dan akhirnya pengundi ini membuat keputusan yang salah. Maka menanglah calon parti yang bijak membodohkan pengundi.
Kesimpulannya, apakah matlamat sistem demokrasi kita untuk melahirkan parti dan pemimpin seperti itu? Apakah kita mahu berterusan melahirkan pemimpin palsu? Semoga kita dijauhi daripada bala dan bencana yang terhasil daripada tangan-tangan kita sendiri. Selamat berkempen.














