fbpx
Muhammad Muhaymin bergambar dengan seorang pelanggan yang membuat tempahan makanan segera di Gerik baru-baru ini.

Upah RM25 hantar dua ketul ayam goreng sejauh 100km

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GERIK – Golongan muda yang mencari rezeki sebagai runner kini tertumpu untuk memberi perkhidmatan penghantaran jarak jauh ekoran permintaan tinggi daripada pelangggan terutama di kawasan luar bandar.

Selain mampu meraih pendapatan lebih, perkhidmatan runner jarak jauh juga dapat memberi peluang kepada pelanggan untuk mendapatkan barangan atau makanan kegemaran mereka di satu-satu kawasan.

Seorang runner jarak jauh, Mohammad Muhaymin Zainal, 24, berkata, kerjaya tersebut terbukti menerima permintaan tinggi daripada orang ramai dan dia sendiri tidak menang tangan untuk membuat penghantaran kepada pelanggan.

Pemilik Diploma Pengurusan Hotel dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, kebanyakan pelanggannya tinggal di kawasan yang agak jauh dari pusat bandar.

“Ada satu ketika seorang wanita mahu menikmati dua ketul ayam goreng dari sebuah restoran francais terkemuka. Itu sahaja yang dia mahu dan saya pada mulanya agak ragu-ragu kerana takut tertipu.

“Bagaimanapun, ia terbukti benar kerana pelanggan wanita itu sanggup membayar harga perkhidmatan runner jarak jauh yang ditawarkan. Jadi saya ke Kuala Kangsar yang terletak kira-kira 100 kilometer (km) dari sini semata-mata untuk membelikannya ayam goreng tersebut,” katanya yang menggunakan motosikal dan kereta untuk melakukan penghantaran.

Mohammad Muhaymin berkata, dia hanya mengenakan kos RM25 bagi perkhidmatan ditawarkan tersebut dan pelanggan perlu membayar harga barangan dipesan beserta caj perkhidmatan yang ditetapkan.

“Sebagai contoh, jika pelanggan memesan makanan pada harga RM80, mereka hanya perlu bayar RM80 tersebut beserta caj perkhidmatan sebanyak RM25. Itu sahaja bayaran yang perlu mereka lunaskan.

“Dalam pada itu, pelanggan saya ada juga yang datang dari luar negeri Perak. Ada satu ketika seorang menantu mahu saya membelikan burger dari sebuah restoran untuk dihantar kepada ibu mentuanya di Gerik,” kata­nya.

Mengulas lanjut katanya, dia membuka ruang bagi orang ramai untuk melakukan pesanan sebanyak tiga kali seminggu ke­rana dia akan ke Ipoh yang terletak kira-kira 130 km dari Gerik bagi mendapatkan barangan pe­langgan pada setiap hari Selasa, Khamis dan Sabtu.

“Ramai dalam kalangan pe­langgan yang memesan makanan dari kedai makanan segera di Ipoh seperti Burger King, D’Laksa, Marrybrown dan Sushi King. Ini kerana rangkaian restoran berkenaan tidak terdapat di Gerik.

“Biasanya, saya akan bergerak ke Ipoh kira-kira pukul 10 pagi dan tiba di sana sekitar 12 tengah hari. Walaupun pe­langgan ada melakukan pesanan pada hari sebelumnya, saya masih me­nung­gu sehingga pukul 3 petang sekiranya ada tempahan.

“Jika tiada, saya akan membeli barangan dipesan dan bergerak semula ke Gerik pada pukul 4 petang dan mula menghantar pesanan itu kepada pelanggan sekitar pukul 6 petang,” katanya.

Nurul Asyikin (kiri) menghantar barangan yang dipesan seorang pelanggan di Manjung baru-baru ini.

Seorang lagi runner, Nurul Ashikin Kamal, 23, berkata, dia menawarkan khidmat penghantaran di sekitar Manjung sejak 2018, namun tidak kisah sekiranya mendapat tempahan dari pelanggan luar dari daerah ini.

Katanya, selain barangan makanan, dia juga pernah mendapat permintaan dari ibu bapa untuk mengambil anak mereka yang belajar di Kolej Vokasional Kuala Kangsar dengan caj dikenakan sebanyak RM80.

“Biasanya kos bagi penghantaran barangan makanan atau lain-lain di Seri Manjung dan Sitia­wan adalah sekitar RM15. Kalau barang yang perlu dihantar itu lebih daripada 10 item, saya akan kenakan caj tambahan bermula RM2.

“Kebanyakan pesanan yang diterima adalah barangan dapur seperti ayam, beras, bawang, sa­yur selain ikan,” kata pemilik Diploma Perkhidmatan Makanan Amalan Halal dari Politeknik ­Sabak Bernam itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN