fbpx

PRN: Kemarahan penyokong Pas isu Dominic, Nik Abduh sudah reda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Faizal (tiga dari kanan) menerima borang keahlian baharu Bersatu di pekarangan pejabat Bersatu Perak di Ipoh hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/KOSMO!

IPOH – Kemarahan penyokong Pas semakin reda berhubung isu Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas di Pulau Pinang yang disifatkan sebagai kawasan majoriti pengundi Melayu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui isu itu pada awalnya mencetuskan kemarahan penyokong Pas namun perkara tersebut dapat diatasi dengan baik.

Beliau berkata, menjadi suatu perkara biasa apabila seseorang pemimpin tidak dinamakan sebagai calon sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dan kecewa dalam kalangan penyokongnya.

“Saya lihat bukan sahaja bagi kem dan penyokong Nik Abduh Nik Abdul Aziz sendiri tetapi secara keseluruhannya kita berada dalam mood untuk menghadapi UMNO dan DAP, bukannya untuk menghadapi lawan sesama kita. Perkara itu dapat kita atasi dengan amat baik.

“Calon yang dinamakan itu adalah sekadar wajah mewakili parti. Kami sentiasa menekankan kepada ahli kita bahawa yang bertanding ini adalah parti, calon hanya mewakili kita dan akhirnya apabila kita memegang pentadbiran kerajaan negeri, kita bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis ramah mesra dan kemasukan ahli baharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak di sini hari ini.

Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata, pencalonan Dominic di kerusi DUN tersebut juga membuktikan keindahan PN kerana beliau percaya pengundi Melayu akan menyokong Presiden Gerakan tersebut.

“Itulah keindahannya dalam PN, di mana kita boleh meletakkan calon bukan Melayu di kawasan Melayu. Kita yakin sokongan Melayu (terhadap Dominic).

“Lebih penting ialah sokongan kepada parti kerana kita bukan sekadar nak menang satu kerusi di Bayan Lepas tetapi kita nak menang seberapa banyak kerusi bagi menubuhkan kerajaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sambil mempertahankan Kedah, Kelantan dan Terengganu,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI