PHEV (kenderaan plug-in hibrid elektrik) merupakan satu alternatif sebelum beralih kepada penggunaan kenderaan elektrik (EV).
Tidak dinafikan EV merupakan kenderaan pada masa hadapan dan ia turut meliputi aspek mobiliti kereta yang kita pandu.
Bagi mereka yang berani mungkin tidak akan teragak-agak untuk beralih ke EV, tambahan pula dengan faedah-faedah yang ditawarkan seperti pengurangan kesan iklim, peningkatan prestasi dan pengalaman pemanduan yang canggih.
Untuk mereka yang lain, pemilikan kenderaan elektrik mungkin menghadirkan kerisauan yang sama mengenai paras bateri yang rendah ketika dalam situasi yang tidak dijangka. Hal ini boleh menjadikan peralihan ke EV satu pilihan yang sukar untuk mereka.
Volvo Cars mempunyai cita-cita besar untuk menawarkan rangkaian EV sepenuhnya menjelang tahun 2030, tetapi juga memahami bahawa setiap pelanggan mempunyai keperluan yang berbeza. Mungkin ada antara mereka yang memerlukan jaminan dan pelan sandaran sebelum mengambil langkah untuk memulakan perjalanan mobiliti elektrik sepenuhnya.
Bagi menangani kerisauan ini, barisan penuh PHEV Volvo yang dilengkapi dengan rangkaian kuasa hibrid mungkin boleh menjadi penyelesaian yang membolehkan anda untuk berjalan jauh tanpa bimbang.
Baru-baru ini penulis telah diberi peluang untuk memandu uji sebuah unit kenderaan utiliti sukan (SUV) Volvo yang merupakan sebuah PHEV iaitu XC60 Recharge.
PHEV membolehkan para pemilik kereta membuat pilihan antara motor elektrik dan enjin pembakaran dalaman atau kedua-duanya dalam masa yang sama.

Ia mampu mengoptimumkan prestasi, jarak dan penggunaan bahan api untuk setiap pemanduan anda. Tidak mustahil dengan tangki petrol dan eletrik XC60 Recharge yang penulis pandu uji ini mampu bergerak lebih 900 kilometer (km). Penulis bagaimanapun hanya memandu pada jarak sekitar 300 km.
Model pandu uji ini menggunakan enjin 2.0 liter turbo bersama motor elektrik dan transmisi lapan kelajuan automatik.
Kombinasi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 462PS dan tork tertinggi pada 709Nm. SUV PHEV ini juga mampu memecut dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya dalam masa 4.8 saat.
Namun, kelajuan maksimum ditetapkan pada 180km/j sama seperti model-model Volvo yang lain. Atas kertas, kombinasi penggunaan petrol yang dinyatakan ialah 1.6 liter untuk perjalanan sejauh 100km.
Kenderaan pacuan semua roda (e-AWD) ini juga menggunakan tangki petrol bersaiz 71 liter.
Volvo juga memaklumkan kenderaan ini mampu bergerak tambahan sejauh 81 kilometer hanya dengan menggunakan bateri jarak jauh berkuasa 18.8kWh.
Penulis lihat tawaran yang diberikan ini sesuai untuk kegunaan praktikal dan jarak tambahan ini bermakna pemiliknya boleh menggunakan fungsi elektrik penuh untuk perjalanan harian, manakala petrol hanya berfungsi sebagai sandaran atau untuk perjalanan lebih jauh di hujung minggu atau rentas negeri. Tidak perlu risau sekiranya tiada tempat mengecas.

Kenderaan ini juga hadir dengan plug 3-pin di mana pengguna boleh mengecas kenderaan mereka di mana-mana sahaja semasa berada di luar.
Masuk ke ruang kabin, XC60 Recharge ini hadir dengan sistem infotainment Android Automotive OS-dengan skrin sentuh bersaiz sembilan inci, sistem audio jenama Bowers & Wilkins, penghawa dingin dua zon, tempat duduk hadapan dengan fungsi memori, tombol gear kristal Orrefors.
Tempat duduk belakang pula hadir dengan ‘booster seat’ untuk kanak-kanak.
Rekaan luaran model ini jelas lebih rekaan sporty dengan pakej luaran R-Design dan bukan rekaan Inscription.
Bampar hadapan, sisipan gril empat segi dan bampar belakang menaikkan seri SUV ini. Ia juga hadir dengan kemasan hitam. Pada bahagian sisi pula rim dua tona bersaiz 19 inci dipadankan dengan tayar 235/55.
Penulis melihat kenderaan jenis PHEV adalah yang paling relevan ketika ini di Malaysia sebab PHEV juga memerlukan pengguna untuk mengecas seperti sebuah EV.
Secara tidak langsung sudah membiasakan pengguna sekiranya nanti mereka menggunakan EV pula.
Pada pandangan saya, ketika ini untuk pengguna di Malaysia, PHEV ialah pilihan terbaik kerana dapat menghilangkan kebimbangan range anxiety kerana risau tidak sampai ke lokasi terutamanya bagi perjalanan yang jauh dengan kenderaan elektrik.
















