fbpx

PRN: Polis kesan dua kes dron di Kedah, satu terjatuh atas penyokong parti politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fisol pada sidang akhbar di IPK Kedah, Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR – Polis Kedah mengesan dua kes dron pada hari penamaan calon di Kedah hari ini termasuk satu daripadanya yang dipercayai digunakan untuk tujuan pertanian tersasar dan jatuh ke atas penyokong parti di Kuala Kedah.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, satu kes melibatkan dron yang diterbangkan di pekarangan pusat penamaan calon di Pejabat Daerah dan Tanah Pendang yang membawa penahanan seorang lelaki berusia 24 tahun.

“Kejadian berlaku pada pukul 10.30 pagi apabila sebuah dron diterbangkan seorang lelaki di atas penyokong semasa penamaan calon di Pendang.

“Pegawai kita menahan orang yang mengendali dron berkenaan dengan dron jenis DGI itu turut dirampas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Kata beliau, bagi kes kedua di Kuala Kedah, sebuah dron yang digunakan untuk tujuan pertanian terjatuh ke atas penyokong wanita berusia lingkungan 50-an menyebabkannya mengalami kecederaan.

Katanya, wanita terbabit dilaporkan stabil setelah mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini.

“Kita menjalankan siasatan dron tersebut yang digunakan untuk pertanian dipercayai tersasar ke kawasan itu lalu terjatuh,” ujarnya.

Mengulas lanjut kata beliau, pihaknya mengeluarkan amaran kepada semua pihak tentang larangan penggunaan dron sepanjang PRN termasuk ketika ceramah parti politik.

Katanya, kes menggunakan dron itu disiasat mengikut Peraturan 143 (1) Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016.

“Saya nak menyeru kepada semua bahawa penggunaan dron ini memang tidak dibenarkan termasuk pada waktu ceramah. Pengendali dron ini perlu mendapatkan kebenaran CAAM (Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia terlebih dahulu.

“Sekiranya kita dapati dron terlibat merupakan daripada penceramah itu sendiri maka dia juga akan dipertanggungjawabkan (atas kesalahan),” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI