fbpx

Mahkamah: Pegawai MBSA didenda RM7,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azlan (kiri) ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

SHAH ALAM – Seorang Pegawai Tadbir Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen atas pertuduhan berkaitan tender kerja perkhidmatan pembersihan awam, sembilan tahun lalu.

Hakim Datuk Anita Harun menjatuhkan hukuman tersebut selepas Azlan Dollah, 47, menukar pengakuan bersalah terhadap empat pertuduhan pilihan.

Tertuduh juga diperintah penjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Berdasarkan pertuduhan, Azlan didakwa menerima RM2,000, RM10,000, RM17,000 dan RM7,000 melalui cek daripada seorang lelaki tanpa sebarang balasan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan tugas rasminya sebagai Pegawai Tadbir di MBSA Cawangan Kota Kemuning.

Kesemua wang itu didakwa mempunyai kaitan dengan tender perkhidmatan pembersihan awam di Seksyen 32 .

Bapa kepada empat anak itu melakukan perbuatan tersebut antara Jun hingga Julai 2014 dekat sebuah cawangan bank di Seksyen 15, Shah Alam.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff mewakili tertuduh merayu hukuman ringan kerana merupakan kesalahan pertamanya selain pekerja cemerlang selama berkhidmat 22 tahun di MBSA.

“Anak guam saya juga digantung tugas dan menerima separuh daripada gaji bulanannya dan dalam masa sama perlu menanggung empat anak masih bersekolah dan menuntut di institusi pengajian tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira seramai 23 saksi dipanggil sepanjang perbicaraan setakat ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI