fbpx

DAP tidak pertikai kepentingan Melayu, Perlembagaan Persekutuan – Anthony Loke

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Loke sewaktu berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Sembilan di Port Dickson malam tadi. - Foto oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI / KOSMO!

PORT DICKSON – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan bahawa parti itu akan sentiasa berjuang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan tidak akan mempertikaikan kepentingan orang Melayu.

Anthony Loke berkata, beliau juga berharap rakyat tidak termakan dengan fitnah kononnya sekiranya DAP dalam kerajaan, kepentingan orang Melayu akan terhakis.

Jelas beliau, ada empat perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan yang dipegang oleh DAP iaitu kedudukan raja-raja Melayu, Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, kedudukan orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“DAP akan sentiasa berjuang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan perkara ini telah kita tandatangani, komitmen ini bukan hari ini, tetapi masa kita bekerjasama dengan Pas dalam Pakatan Rakyat lagi.

“Kalau kita lawan Perlembagaan Persekutuan sudah tentu DAP sudah lama diharamkan dalam negara kita, hakikatnya DAP bergerak sebagai sebuah parti politik yang sah mengikut lunas undang-undang, kita masuk pilihan raya berkali-kali sejak 1969 sampai sekarang tidak pernah diharamkan,” katanya pada Program Jelajah Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Sembilan di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas berikutan Perikatan Nasional (PN) didakwa akan menggunakan sentimen DAP anti Islam dan anti Melayu.

Dalam pada itu, jelas Anthony Loke, kerjasama BN-PH di Negeri Sembilan bukanlah perkara baharu, malah beliau mengenali Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan ketika itu sejak 2004.

“Masa itu penggal pertama saya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), walaupun ketika itu saya sebagai pembangkang.

“Politik di Negeri Sembilan lain sikit tidak pernah berlaku kekecohan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) daraipada dahulu, kadang kala ada sedikit hangat tetapi tidak sampai gaduh kerana kita ambil semangat, sikap menghormati itu budaya orang noghori, negeri kita beradat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI