fbpx

Bayi 6 bulan disyaki mati dalam jagaan pengasuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HUI LING (kiri) bersama suaminya, Chin Siong menunjukkan gambar anak mereka, Hau Xuan pada sidang akhbar di Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bahru hari ini. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri menuntut pembelaan berhubung kematian anak bongsu mereka yang berusia enam bulan ketika didakwa berada di bawah jagaan pengasuh dalam kejadian 15 Julai lalu.

Ibu mangsa, Patricia Lau Hui Ling, 32, berkata, kejadian itu berlaku ketika dia dimaklumkan pihak pengasuh melalui panggilan telefon pada pukul 12.58 tengah hari pada hari tersebut.

Menurut Patricia, dia menghantar mangsa ke rumah pengasuh yang berjarak hanya kira-kira 15 minit dari kediamannya di Permas Jaya, di sini pada pukul 7.30 pagi, sebelum terus ke Singapura untuk bekerja.

“Tiga daripada empat anak saya dihantar ke rumah pengasuh itu sejak Mac lalu. Selepas menghantar mereka saya terus memasuki Singapura untuk bekerja sebagai seorang kerani di syarikat swasta di sana.

“Kemudian pada pukul 12.58 tengah hari, pengasuh menelefon dan memaklumkan bahawa anak saya mengalami sesak nafas. Saya terus menghubungi suami yang masih di rumah ketika itu untuk bergegas ke tempat pengasuh.

“Suami saya beritahu, setibanya dia di tempat pengasuh, anak saya diletakkan di atas but sebuah kenderaan di hadapan kediaman pengasuh, dan dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Permas Jaya, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Prihatin Cinta Malaysia, Syed Othman Syed Abdullah.

Tambah Patricia, suaminya, Chew Chin Siong, 33, kemudian membawa anak mereka ke sebuah hospital swasta sebelum dimaklumkan bahawa bayi lelaki berkenaan telah meninggal dunia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan pihaknya telah menerima laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

“Polis sedang menunggu keputusan bedah siasat mangsa, namun buat waktu ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” katanya ketika dihubungi pemberita. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI