fbpx

UUM jadi pilihan pelajar Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled (tengah) dan Mohd. Foad (dua dari kanan) pada Majlis Pertukaran MoA dan dan Mou antara Malaysia dan Indonesia di Jakarta, Indonesia pada 18 Julai lalu.

SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) terus menjadi tumpuan pelajar luar negara terutama dari negara serumpun, Indonesia untuk menyambung pendidikan ke tahap lebih tinggi iaitu di peringkat Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Keyakinan itu berdasarkan pencapaian UUM yang berjaya berada dalam kelompok 100 universiti terbaik Asia mengikut senarai dikeluarkan Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2023, baru-baru ini.

UUM berjaya membuat lonjakan 56 anak tangga sehingga berada dalam kelompok 100 universiti terbaik Asia dalam tempoh tiga tahun, sejak 2021.

Pada tahun ini, UUM berada di kedudukan ke-99, berbanding 148 pada tahun lalu dan kedudukan ke-155 pada 2021.

Selain tahap pencapaian mengagumkan itu, UUM juga menawarkan persekitaran pengajian, hospitaliti serta adab dan budi terbaik kepada semua pelajar yang menyambung pendidikan di situ.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd. Foad Sakdan berkata, UUM komited dalam usaha untuk mengukuhkan tahap pendidikan tinggi negara ke peringkat antarabangsa termasuk menjalinkan kerjasama dengan lima Universitas Islam Negeri (UIN) Indonesia dan Kementerian Agama Republik Indonesia (Kemenag).

Katanya, jalinan kerjasama itu direaliasikan atas usaha Ketua Pengarah Pendidikan Islam Kemenag, Prof. Dr. M. Ali Ramdhani dan Pengarah Pendidikan Tinggi Islamnya, Prof. Dr. Ahmad Zainul Hamdi yang mempercayai kemampuan UUM.

Mohd. Foad

“Majelis Diktilitbang PP Muhammadiyah, Indonesia juga akan menyediakan lebih 1,000 daripada 5,000 pelajar untuk melanjutkan pendidikan di peringkat PhD di UUM dalam tempoh lima tahun.

“Pelajar itu adalah sebahagian daripada pensyarah dan staf Muhammadiyah dari seluruh Indonesia yang akan melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang termasuk pengurusan, perniagaan, pendidikan serta media dan komunikasi,” katanya di sini semalam.

Katanya, UUM telah menandatangani Surat Niat (LOI) dengan Majelis Diktilitbang PP Muhammadiyah bagi memulakan sesi pengajian pada September atau Oktober ini dan menamatkan pengajian dalam tempoh lima tahun.

Selain itu, Mohd. Foad berkata, UUM telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan lima UIN iaitu Sunan Ampel Surabaya, Raden Fatah Palembang, Ar-Raniy Banda Aceh, Mataram dan Sunan Gunung Djati Bandung.

“Pemilihan ini merupakan satu pengiktirafan buat UUM di arena antarabangsa dan kerjasama itu membolehkan pelajar warga Indonesia yang terpilih untuk mengikuti pengajian di peringkat Sarjana di bawah kerjasama akademik antara UUM dan UIN yang akan ditaja oleh Kemenag,” jelasnya.

Mohd. Foad (lima dari kiri) bersama lima rektor UIN dan wakil Kemenag pada Majlis Menandatangani MoU antara UUM dengan UIN di Jakarta, Indonesia pada 29 Mei lalu.

Katanya, kumpulan pertama 100 pelajar tajaan Kemenag itu akan bermula pada kemasukan September ini.

“Pelajar yang layak akan menerima tajaan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dan menimba pengalaman di peringkat antarabangsa dalam usaha untuk membangunkan modal insan yang holistik, mempersiapkan pemimpin, pendidik dan profesional masa depan buat negara ‘Garuda’ itu,” katanya.

Ujarnya, setiap pelajar tajaan Kemenag akan terlebih dahulu mengikuti setahun pengajian Sarjana di UUM dan kemudian menyambung setahun lagi pengajian sarjana di UIN terlibat.

“Ia sekali gus melayakkan mereka dianugerahkan dua sijil Sarjana dari dua universiti berkenaan sekiranya berjaya melengkapkan pengajian mereka dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Tambahnya, UUM juga menjalinkan kerjasama dengan Asosiasi Perguruan Tinggi Swasta Indonesia (Aptisi) Pusat untuk menyediakan latihan kepada rektor-rektor perguruan tinggi swasta mengenai pencapaian kedudukan UUM.

Mereka juga mempunyai ahli seluruh Indonesia yang masih tidak mempunyai Sarjana dan Doktor Falsafah akan digalakkan melanjutkan pendidikan tinggi di UUM dengan kerjasama dan usaha daripada Ketua Umum Aptisi, Dr. Ir. H. M. Budi Djatmiko.

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyaksikan Majlis Pertukaran MOU dan MOA antara UUM dengan UIN di Jakarta, Indonesia pada 18 Julai lalu berkata, dua negara itu terus mengukuhkan sektor pendidikan menerusi pemeteraian MoA dan MoU dengan agensi serta universiti di Indonesia.

“Langkah itu bermaksud kerjasama sektor pendidikan tinggi membabitkan Malaysia dengan Indonesia telah memacu era baharu. Kita sekarang mahu membawa kerjasama hubungan kedua-dua negara dalam sektor pendidikan kepada tahap lebih tinggi lagi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI