fbpx

India sekat eksport beras putih kawal kenaikan harga di pasaran tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG petani bekerja di sawah di pinggir Srinagar, India pada 19 Jun lalu. - AFP

NEW DELHI – India melarang eksport beras putih bukan basmati untuk mengekang kenaikan harga beras dalam pasaran domestik, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC).

Hujan lebat menjejaskan tanaman di negara itu dengan harga beras meningkat lebih 11 peratus sejak 12 bulan lalu.

Beras putih bukan basmati menyumbang kira-kira satu perempat daripada eksport beras India, kata Kementerian Hal Ehwal Pengguna ketika mengumumkan larangan tersebut.

Bagaimanapun, beberapa pakar memberi amaran bahawa langkah itu boleh menyebabkan harga makanan global meningkat.

“Adalah adil untuk mengatakan bahawa perubahan ini akan memberi kesan kepada harga makanan global,” kata ketua analisis dan penyelidikan pelaburan di syarikat Hargreaves Lansdown, Emma Wall.

Bekalan makanan dunia berada di bawah tekanan selepas Russia menarik diri daripada perjanjian yang menjamin laluan selamat eksport bijirin Ukraine termasuk gandum pada minggu ini.

India merupakan pengeksport beras terbesar dan menyumbang lebih 40 peratus bekalan beras global. Beras bukan basmati kerap dieksport ke negara-negara rantau Asia dan Afrika.

Pada tahun lalu, kerajaan India mengenakan cukai eksport sebanyak 20 peratus untuk menghalang jualan  beras ke negara-negara asing. Negara itu juga mengehadkan penghantaran gandum dan gula.

Aktiviti eksport lebih mengguntungkan petani daripada menjualnya di dalam negara.

Bagaimanapun, petani masih boleh mengeksport jenis beras lain termasuk basmati bijirin panjang untuk mendapat faedah harga yang menguntungkan di pasaran antarabangsa.

Direktorat Jenderal Perdagangan Luar Negeri berkata, kerajaan akan mempertimbangkan permintaan untuk membenarkan penghantaran beras putih ke negara lain berdasarkan keperluan keselamatan makanan. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI