fbpx
SINDIKET penipuan menggunakan profil pengusaha bas sekolah untuk menipu ibu bapa. – GAMBAR HIASAN

Taktik tipu van sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Keterdesakan ibu bapa mendapatkan bas sekolah untuk kegunaan anak-anak mereka telah dimanipulasi golo­ngan tertentu meraih keuntu­ngan mudah sejak awal tahun ini.

Modus operandi kumpulan scammer itu dikatakan mudah dengan menggunakan profil pe­ngusaha bas berdaftar termasuk gambar-gambar kenderaan bagi memperdaya mangsa selain meletakkan harga perkhidmatan serendah RM40 selain meminta deposit sebanyak dua bulan.

Seorang pengusaha bas, Salzurani Asha’ari, 43, berkata, profilnya telah digunakan sebanyak dua kali pada Mei dan Jun lalu dengan tawaran perkhidmatan dilakukan adalah sekitar Puchong dan Kuantan, Pahang.

Katanya, scammer juga dikatakan telah mendesak ibu bapa supaya membayar deposit dua bulan dengan bayaran bulanan adalah RM80 bagi seorang anak.

“Saya mengetahui profil digunakan selepas dimaklumkan jiran dengan seorang mangsa yang te­lah ditipu sebanyak RM250 untuk tiga orang anaknya bagi perkhidmatan di Puchong.

“Ini membuatkan saya meng­hubungi mangsa dengan me­nya­takan tidak membuat perkhid­matan di kawasan tersebut sebaliknya beroperasi di Cheras. Tambahan akaun bank yang dibayar mangsa bukan akaun saya sendiri,” katanya kepada ­Kosmo! di sini semalam.

Ibu kepada tiga orang anak turut memberitahu, profilnya digunakan sekali lagi apabila dihu­bu­ngi seorang wanita yang hampir menjadi mangsa di Kuantan bagi kegunaan pengambilan dan penghantaran anak-anaknya.

“Scammer itu menggunakan gambar saya semasa promosi tujuh tahun lalu. Perlu diingat keba­nyakan pengusaha berdaftar tidak kenakan deposit de­ngan bayaran adalah pada bulan perkhidmatan diguna pelanggan.

“Ibu bapa juga sepatutnya lebih peka dan tidak boleh lepas tangan dengan membuat perjanjian hanya sekadar menerusi dalam talian sebaliknya perlu bersemuka. Ini bagi mengelakkan berlakunya kes tidak diingini termasuk penculikan,” katanya yang telah mengusahakan khidmat bas sekolah lebih 15 tahun.

Insiden sama turut berlaku kepada seorang lagi pengusaha bas, Aman Fadhli Azmi, 37, yang beroperasi di Taman Masai, Johor selepas dihubungi salah seorang bapa yang juga hampir menjadi mangsa scammer awal bulan ini.

Ujarnya, scammer meletakkan harga tidak masuk akal serendah RM40 dan juga meminta deposit hanya RM20 bagi seorang anak.

“Saya sendiri ada berhubung dengan scammer tersebut menerusi WhatsApp dan terkejut apabila memang benar dia memberikan gambar saya untuk urusan penipuannya,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Industri Bas Sekolah Malaysia, Mohd. Haron Mohd. Sidik memaklumkan modus operandi itu mula dikesan tahun ini dengan tiga laporan telah diterima pihaknya daripada pe­ngusaha bas sekolah berdaftar.

“Scammer itu menggunakan maklumat pengusaha bas sekolah berdaftar menerusi Facebook bagi menyakinkan pelanggan.

“Kita turut mengesan taktik pengusaha bas sekolah haram yang akan mengikuti pengusaha berdaftar ke rumah pelanggan sebelum mencatitkan alamat rumah dan menawarkan khidmat mereka,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN